HomeUtamaUsahawan Sabah teroka peluang perniagaan dan eksport di China

Usahawan Sabah teroka peluang perniagaan dan eksport di China

Read Time:2 Minute, 9 Second

Oleh Normimie Diun

GUANGZHOU: Usahawan Sabah berpeluang meneroka kerjasama perdagangan, teknologi dan pasaran eksport menerusi sesi libat urus serta padanan perniagaan (B2B) bersama beberapa dewan perniagaan dan delegasi industri dari China dan Thailand di sini, hari ini.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, perbincangan pada hari kedua misi perdagangan itu membuka ruang kerjasama baharu yang berpotensi memberi manfaat kepada komuniti petani, penternak, nelayan serta penggiat industri makanan di Sabah.

Antara pihak yang terlibat dalam perbincangan itu ialah Guangdong Yuehua Stainless Steel Profile Co., Xingtai Federation of Commerce dari Hebei, delegasi Wilayah Jilin serta wakil perniagaan dari Thailand.

“Beberapa penemuan dan perbincangan yang baik untuk komuniti petani, penternak, nelayan dan penggiat industri makanan di Sabah akan dibawa untuk penelitian serta tindakan lanjut.

“Kerjasama ini turut merangkumi pertukaran pelajar, pemindahan teknologi dan peluang latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dalam bidang automotif,” katanya pada sidang media selepas sesi libat urus berkenaan.

Menurut Jamawi, China sebagai antara pengeluar kenderaan elektrik (EV) terbesar dunia menawarkan peluang kepada anak muda Sabah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam industri berkenaan.

“Selain itu, kita turut melihat potensi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pertanian serta mekanisasi, termasuk penyediaan traktor dan peralatan moden bagi memudahkan kerja-kerja pertanian,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut meneruskan usaha memperkasa mekanisasi sektor penanaman padi dengan peruntukan RM15 juta pada tahun ini dan tambahan RM15 juta bagi tahun depan.

“Peruntukan itu mungkin belum mencukupi untuk memenuhi keseluruhan keperluan sektor berkenaan, namun usaha mendapatkan teknologi dan peralatan pada kos serta nilai terbaik akan diteruskan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jamawi berkata, kedua-dua pihak bersetuju mengadakan mesyuarat tahunan bersama pentadbiran Guangzhou bagi memastikan perbincangan dan kerjasama yang dirintis dapat diteruskan secara konsisten.

“Beberapa memorandum persefahaman (MoU) yang akan dimeterai malam ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada komuniti usahawan Sabah, selain membantu petani, penternak dan nelayan memasarkan hasil keluaran mereka ke pasaran lebih luas.

“Pihak dari China juga akan mengadakan lawatan ke Sabah untuk meninjau kualiti hasil pertanian, buah-buahan dan produk makanan tempatan yang berpotensi dieksport ke negara itu.

“Namun, aspek kualiti perlu diberi perhatian kerana semua hasil yang ingin dipasarkan mestilah memenuhi piawaian dan keperluan negara pengimport,” katanya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau berkata, pelaksanaan sesi padanan perniagaan secara tersusun penting bagi memastikan hubungan dua hala dan jaringan yang dibina dapat diterjemahkan kepada perjanjian perdagangan serta kerjasama serantau yang memberikan manfaat nyata.

“Pendekatan ini juga penting untuk membantu usahawan Sabah mengenal pasti rakan strategik, meneroka pasaran baharu dan memperluas peluang perdagangan di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sekolah perlu pantau keselamatan murid di kawasan ancaman buaya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular