KOTA KINABALU: Kawasan Pantai Timur Sabah berjaya mengekalkan rekod sifar kes penculikan sejak 15 Januari 2020, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Victor Sanjos berkata, pencapaian itu hasil kesinambungan usaha kepimpinan terdahulu serta kerjasama erat semua pihak dalam memastikan keselamatan kawasan berkenaan terus terpelihara.
Beliau berkata, tahap keselamatan yang terjamin bukan sahaja membolehkan pembangunan di Pantai Timur Sabah berjalan lancar, malah membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat setempat untuk menjalankan aktiviti ekonomi.

“Di bawah kepimpinan peneraju sebelum ini, sejak 15 Januari 2020 hingga hari ini, kita masih berjaya mengekalkan rekod sifar kes penculikan.
“Apabila tahap keselamatan sentiasa terjamin, pembangunan di kawasan Pantai Timur Sabah dapat berjalan lancar dan semakin meningkat, sekali gus memberi ruang serta peluang lebih luas kepada masyarakat setempat untuk menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Jumaat.
Menurut Victor, kejayaan mengekalkan rekod berkenaan turut memberi kesan positif terhadap persepsi keselamatan Sabah dalam kalangan masyarakat antarabangsa.
Katanya, kebanyakan negara luar telah menurunkan tahap amaran atau nasihat perjalanan ke kawasan berkenaan daripada tahap tiga dan dua kepada tahap satu.
“Kesannya, kita dapat melihat kehadiran pelancong dari negara-negara yang sering berkunjung ke sini semakin meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kunjungan hormat berkenaan turut bertujuan memaklumkan secara rasmi pelantikan beliau sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah.
Pada kunjungan sama, beliau turut memperkenalkan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Abdul Fuad Abdul Malek yang akan mengambil alih jawatan berkenaan pada 19 November ini.
Victor turut menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan Abdul Fuad meneruskan usaha mengekalkan tahap keselamatan di kawasan operasi ESSCOM berdasarkan pengalaman serta pengetahuan luas beliau mengenai aspek keselamatan di Sabah.
Hadir sama, Ketua Staf Pusat Operasi (KS PUSOP), Brigedier Jeneral Khairuddin Zakaria; Ketua Staf Operasi Laut (KS BOL), Laksamana Pertama Abdul Razak Mohamed; Ketua Staf Pasukan Khas (KS PK), Nasri Mansor dan Pengarah Bahagian Tindakan Awam (BTA), Georgie Abas.



