XIAMEN, CHINA: Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Cawangan Sabah meneroka peluang perdagangan dan pelaburan dengan Xiamen, China menerusi kunjungan ke Majlis China bagi Promosi Perdagangan Antarabangsa (CCPIT) Jawatankuasa Xiamen di sini, hari ini.
Kunjungan yang diketuai Presiden MCCC Sabah, Datuk Dexter Lau itu bertujuan memperkukuh hubungan antara kedua-dua organisasi serta membuka ruang pertukaran pandangan mengenai peluang kerjasama ekonomi antara Sabah dengan Xiamen.
Delegasi berkenaan disambut Naib Presiden CCPIT Jawatankuasa Perbandaran Xiamen merangkap Naib Presiden Dewan Perniagaan Antarabangsa Xiamen, Zhu Hongqi, bersama Pengarah Jabatan Perhubungan Luar CCPIT Xiamen, Liang Zhiming.
Turut hadir menyambut delegasi ialah Timbalan Pengarah merangkap Penyelidik Gred Dua Pejabat CCPIT Xiamen, Yuan Ze; Pegawai Utama Gred Satu Jabatan Perhubungan Luar, Zhuang Wenjie; serta Pegawai Perhubungan Luar CCPIT Xiamen dan Dewan Perniagaan Antarabangsa Xiamen, Deng Yan.
Delegasi MCCC Sabah turut disertai Naib Presiden, Peguam Yong Siew Lee; Setiausaha, Lam Lee Chin; Pengarah Hal Ehwal Komersial, Brian Ho; Ahli Jawatankuasa Wanita Usahawan (WEC), Jerry Foo; serta ahli, Pamela Dorothy Tseu dan beberapa wakil lain.
Pertemuan itu menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan serta mengenal pasti bidang kerjasama berpotensi, khususnya dalam memperkukuh hubungan perniagaan, menggalakkan aktiviti perdagangan dan meneroka peluang pelaburan antara Sabah dengan Xiamen.
Kunjungan berkenaan turut membuka peluang kepada komuniti perniagaan Sabah untuk membina hubungan lebih luas dengan rakan strategik di China, sekali gus mewujudkan ruang kerjasama baharu yang dapat menyokong perkembangan ekonomi dan perdagangan kedua-dua pihak.



