KOTA KINABALU: Stesen Meteorologi Utama Keningau merekodkan suhu maksimum harian 34.5 darjah Celsius, sekali gus menyamai bacaan di Stesen Meteorologi Utama Limbang, Sarawak di sini pada Ahad.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), bacaan itu merupakan antara suhu maksimum tertinggi direkodkan di negara ini pada hari berkenaan.
Katanya, Stesen Meteorologi Utama Mulu, Sarawak mencatatkan suhu tertinggi iaitu 35.3 darjah Celsius, diikuti Limbang dan Keningau masing-masing 34.5 darjah Celsius.
Stesen Meteorologi Utama Kapit, Sarawak pula merekodkan suhu maksimum 33.8 darjah Celsius.
Dalam perkembangan sama, Stesen Meteorologi Utama Ipoh, Perak merekodkan jumlah hujan harian tertinggi sebanyak 69.8 milimeter (mm).
Ia diikuti Stesen Meteorologi Utama Kuala Terengganu, Terengganu dengan 67.8 mm dan Stesen Meteorologi Utama Sitiawan, Perak sebanyak 53.8 mm.
MET Malaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca serta merancang aktiviti harian berdasarkan maklumat dan ramalan cuaca terkini.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang dan saluran media sosial rasmi MET Malaysia.



