SANDAKAN: Seramai 373 pencarum dan waris di Sabah menerima manfaat Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) membabitkan pembayaran faedah berjumlah lebih RM481,000 setakat 31 Oktober 2026.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, pembayaran itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan RM20.23 juta faedah yang disalurkan kepada 12,582 pencarum dan waris yang layak di seluruh negara.
Katanya, skim berkenaan memainkan peranan penting dalam menyediakan perlindungan kewangan kepada pekerja dan keluarga mereka sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu bekerja.
Menurutnya, perlindungan itu penting kerana musibah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira masa, tempat atau aktiviti yang dilakukan.
“LINDUNG 24 Jam membuktikan skim ini bertindak sebagai perlindungan bagi memastikan pekerja dan keluarga mereka mendapat sokongan kewangan jika berlaku kemalangan kerana musibah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira waktu, tempat atau aktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kenduri Rakyat i-LINDUNG u@Batu Sapi di Flat Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), di sini.
Sehubungan itu, Khairul Firdaus menyeru semua pekerja, khususnya di Sabah, supaya memastikan perlindungan skim berkenaan kekal aktif bagi menjamin kelangsungan sosioekonomi sekiranya ditimpa musibah.

Katanya, pencarum yang pernah memilih untuk keluar daripada skim itu juga digalakkan menyertai semula menerusi kaunter LINDUNG 24 Jam yang disediakan sepanjang program berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terus memperkukuh usaha memperluas akses masyarakat terhadap kemudahan perlindungan sosial.
Menurutnya, pendekatan turun padang menerusi program seumpama itu membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat, nasihat dan perkhidmatan PERKESO secara terus tanpa perlu hadir ke pejabat agensi berkenaan.
Antara perkhidmatan disediakan termasuk diskaun sehingga 80 peratus bagi faedah caruman lewat bayar kepada majikan, saringan kesihatan percuma serta kaunter LINDUNG Kasih, LINDUNG Kerjaya, LINDUNG Pekerja dan LINDUNG Kendiri.
Katanya, usaha itu mencerminkan komitmen kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat perlindungan sosial dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, termasuk penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.



