KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memecah masuk bilik kuarters pekerja dan mencuri telefon bimbit bernilai RM300.
Tertuduh Mohd Samsul Ahmad dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Hurman Hussain selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap.
Mengikut pertuduhan, Mohd Samsul didapati melakukan pecah rumah dan mencuri sebuah telefon bimbit Realme berwarna biru milik seorang lelaki di bilik kuarters pekerja di Manggatal, kira-kira jam 3.10 pagi pada 5 November lalu.
Berdasarkan fakta kes, pengadu sedang tidur bersama isteri dan anaknya di dalam bilik kuarters berkenaan sebelum terjaga selepas terdengar bunyi barang terjatuh.
Pengadu kemudian mendapati seorang lelaki tidak dikenali berada di dalam biliknya sambil memegang telefon bimbit miliknya.
Pengadu menjerit menyebabkan tertuduh cuba melarikan diri melalui tingkap, namun berjaya ditahan dengan bantuan rakan sekerjanya sebelum diserahkan kepada polis.
Siasatan mendapati tertuduh yang tidak mengenali penghuni kuarters itu mengaku memasuki kawasan kuarters itu seorang diri dengan memanjat pagar belakang sebelum masuk ke bilik berkenaan melalui tingkap yang tidak berkunci.
Dia juga mengaku mengambil syabu bernilai RM50 sebelum kejadian sehingga berada dalam keadaan khayal dan tidak dapat mengingati sepenuhnya perbuatannya.
Ketika rayuan, tertuduh yang sudah bercerai dan mempunyai dua anak memohon hukuman seringan-ringannya atas alasan ia merupakan kes jenayah pertamanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh memohon hukuman penjara dengan mengambil kira sifat kesalahan, termasuk tindakan tertuduh memecah masuk premis secara sengaja.
Beliau turut memaklumkan bahawa telefon bimbit bernilai RM300 itu sudah diperoleh semula dan tertuduh tidak mempunyai rekod sabitan terdahulu.



