TAWAU: Tindakan polis memeriksa nombor casis sebuah motosikal membawa kepada penemuan kenderaan curi dan penahanan seorang lelaki warga asing berusia 20-an, petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan kira-kira jam 2.30 petang oleh sepasukan anggota Polis Strike Team Balai Polis Tawau ketika menjalankan rondaan cegah jenayah di Jalan Kausing Baru.
Menurutnya, polis yang bertindak atas maklumat menemukan suspek berada di atas sebuah motosikal Yamaha 135LC di hadapan sebuah rumah sebelum menjalankan pemeriksaan dan semakan lanjut terhadap kenderaan itu.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang itu mempunyai rekod hilang berdasarkan semakan nombor casis melalui sistem Mobile Card Acceptence Device (MCAD),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Rosdi berkata, motosikal berkenaan dilaporkan hilang pada 14 Oktober lalu ketika diletakkan di kawasan parkir belakang Eastern Plaza kira-kira jam 11.40 malam.
Katanya, laporan dibuat keesokan harinya oleh seorang wanita tempatan berusia 22 tahun berhubung kehilangan motosikal milik abang iparnya itu.
Beliau berkata, semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes penyalahgunaan dadah.
Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Rosdi menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan mencuri atau memiliki kenderaan curi.
Katanya, siasatan akan dijalankan bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan ketika meletakkan kenderaan dan segera membuat laporan polis sekiranya berlaku kehilangan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah juga diminta menyalurkannya kepada polis atau balai polis berhampiran.



