HomeUtama12 warga China disyaki terbabit aktiviti 'scam' ditahan

12 warga China disyaki terbabit aktiviti ‘scam’ ditahan

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Seramai 12 lelaki warga China berusia antara 20 hingga 43 tahun ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam serbuan ke atas sebuah banglo di kawasan taman perumahan Damai, di sini, pada Selasa. 

Kesemua mereka dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian atau ‘scam’ yang beroperasi di premis berkenaan, hasil risikan selama seminggu oleh JIM Sabah menerusi Operasi Serkap yang dijalankan kira-kira jam 11 pagi.

Pengarah Imigresen Sabah Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof berkata, dari jumlah itu, seramai 10 individu disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal memiliki pas atau permit yang sah.

Katanya, dua lagi individu disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15(1)(c) dan melakukan kesalahan salah guna pas mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurutnya, operasi itu turut merampas beberapa peralatan yang digunakan dalam aktiviti haram itu termasuk tiga pasport China serta wang tunai pelbagai mata wang berjumlah RM184.15.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap sebuah komputer yang berjaya diakses turut menemukan rekod transaksi melibatkan beberapa negara termasuk India, China dan Kemboja.

“Ini termasuk satu transaksi berjumlah AS$952 yang dikesan dimasukkan ke akaun dipercayai berkaitan kegiatan penipuan berkenaan. Bagaimanapun, 10 komputer lain didapati sudah log keluar ketika serbuan dilakukan.

“Kesemua suspek kini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut. 

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menggaji atau melindungi individu terbabit, termasuk kemungkinan penglibatan majikan atau penyewa premis berkenaan.

Katanya, modus operandi kumpulan itu dipercayai menggunakan taktik berpindah-randah dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Apabila mereka menghidu kehadiran atau pemantauan pihak berkuasa, mereka akan berpindah ke tempat lain. Pasukan risikan kita akan terus mengikuti pergerakan mereka.

“Kita juga memerlukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kehadiran warga asing yang mencurigakan di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau turut mengingatkan majikan supaya memastikan pekerja warga asing mematuhi syarat pas yang diluluskan dan tidak melakukan kesalahan imigresen, termasuk tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

AG, Hannah tidak setuju tahanan rumah Najib, minit Mesyuarat dikongsi Tony...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular