PAPAR: Seorang lelaki warga Filipina didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun.
Tertuduh, Teddy S Jalao, 33, didakwa membunuh Duin Kittchi, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gading, Ulu Bongawan, dekat sini, antara jam 1 tengah hari hingga 5.40 petang pada 7 November 2026.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 21 Disember depan untuk sebutan semula dan tiada jaminan dibenarkan kepada tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



