HomeUtamaRampasan produk kesihatan tidak sah bernilai RM500,000 terbesar di Sabah tahun ini

Rampasan produk kesihatan tidak sah bernilai RM500,000 terbesar di Sabah tahun ini

Read Time:2 Minute, 5 Second

KOTA KINABALU: Rampasan pelbagai produk farmaseutikal tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai kira-kira RM500,000 menerusi OPS PADU mencatatkan nilai rampasan terbesar di Sabah sepanjang tahun ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Asniza Alias berkata, kejayaan operasi itu hasil pemantauan dan risikan selama hampir enam bulan terhadap kumpulan yang dikenal pasti terbabit dalam kegiatan pembekalan produk kesihatan tidak sah.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan pada Selasa itu menyasarkan rangkaian pembekal yang membekalkan produk berkenaan untuk pasaran tempatan, khususnya di kedai runcit dan pasar tamu di seluruh Sabah.

“Ya, untuk tahun ini bagi negeri Sabah, ini merupakan rampasan besar bagi 2026,” katanya ketika ditemui selepas OPS PADU di sini pada Rabu.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan terhadap 11 premis yang dikenal pasti sebagai pembekal dan penjual, meliputi sekitar Kota Kinabalu termasuk kawasan Likas.

Antara produk yang dirampas termasuk antibiotik, ubat penahan sakit, ubat antikulat dan pil perancang keluarga, selain kosmetik yang disyaki mengandungi bahan seperti hydroquinone, tretinoin dan steroid.

Asniza berkata, pihaknya turut memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti sumber bekalan produk berkenaan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap keseluruhan rangkaian pengedaran.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan terhadap semua produk yang dirampas sebelum tindakan undang-undang dipertimbangkan berdasarkan bukti yang diperoleh.

Dalam operasi sama, sebanyak 27,910 produk farmaseutikal disyaki tidak berdaftar, 2,663 produk disyaki mengandungi racun berjadual dan 23,101 produk kosmetik disyaki tidak bernotifikasi dirampas.

Produk farmaseutikal yang disyaki tidak berdaftar itu disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Sehubungan itu, penjual dan pengedar, termasuk pemilik kedai runcit serta peniaga tamu, diingatkan supaya memastikan hanya produk kesihatan berdaftar dengan nombor MAL dan mempunyai pelekat keselamatan hologram Farmatag dijual atau dibekalkan.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika membeli produk kesihatan atau kosmetik, khususnya di kedai runcit dan pasar tamu.

Status pendaftaran produk kesihatan boleh disemak menerusi imbasan Farmatag menggunakan aplikasi MyUbat atau melalui laman sesawang Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di www.npra.gov.my menerusi ruangan ‘Product Search’.

Orang awam juga digalakkan menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan penjualan ubat-ubatan dan produk kesihatan yang meragukan melalui Portal Aduan SisPAA di moh.spab.gov.my, talian hotline 03-7841 3200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan.

RELATED ARTICLES
Utama

62.5 peratus kuarters kesihatan Sipitang daif, tidak selamat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular