HomeUtamaMahrajan Kesenian Islam berpotensi jadi produk pelancongan Sabah

Mahrajan Kesenian Islam berpotensi jadi produk pelancongan Sabah

Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Program Mahrajan Kesenian Islam berpotensi diketengahkan sebagai salah satu produk pelancongan kebudayaan Islam Sabah sempena Tahun Melawat Sabah 2027 menerusi usaha memperluaskan penganjurannya ke peringkat Borneo.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, cadangan memperbesar skala penganjuran mahrajan  itu akan dibincangkan bagi membolehkan penyertaan dari seluruh Borneo pada tahun depan.

Beliau berkata, penganjuran berkenaan bukan sahaja menjadi platform mengetengahkan bakat dalam seni Islam, malah berpotensi memperkenalkan warisan kebudayaan Islam Sabah kepada masyarakat lebih luas, termasuk pelancong dari luar negeri.

“Saya mencadangkan dan kita akan berbincang untuk menganjurkan serta membesarkan program ini ke peringkat Borneo, yang mana Mahrajan ini akan kita libatkan kawasan di seluruh Borneo.

“Insya-Allah, kita akan anjurkan pada tahun hadapan 2027 beriringan dengan Tahun Melawat Sabah 2027. Ini akan menjadi salah satu agenda kita dari sudut pelancongan kebudayaan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Mahrajan Kesenian Islam peringkat negeri Sabah di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini pada Khamis.

Program itu membabitkan pertandingan nasyid, marhaban, berzanji dan kompang.

Menurut Arifin, pengisian program berkenaan mampu memperlihatkan keunikan seni dan tradisi Islam yang berkembang dalam masyarakat Sabah, selain membuka ruang kepada penggiat seni untuk berkongsi kepakaran serta pengalaman.

Katanya, peluasan penganjuran itu juga diharap dapat meningkatkan pengiktirafan terhadap seni kebudayaan Islam sebagai sebahagian daripada tarikan pelancongan negeri.

Beliau berharap cadangan berkenaan dapat dilaksanakan menerusi kerjasama MUIS dan agensi berkaitan bagi memastikan Mahrajan terus berkembang sebagai platform seni Islam yang mampu menarik penyertaan lebih meluas . – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah lulus terima pakai Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular