KUALA LUMPUR: YTL Corporation Berhad (YTL Corp) mencatat keuntungan selepas cukai RM700.1 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2027, meningkat 5 peratus daripada RM664.3 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Hasil kumpulan melonjak 34 peratus kepada RM10.25 bilion bagi suku berakhir 30 September 2026, berbanding RM7.64 bilion setahun sebelumnya. Keuntungan sebelum cukai turut meningkat 5 peratus kepada RM1.03 bilion, daripada RM975.8 juta.
Pengerusi Eksekutif YTL Corp, Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping, berkata semua segmen perniagaan mencatat prestasi lebih baik, dengan pembinaan, simen dan perkhidmatan pengurusan menjadi penyumbang utama kepada peningkatan keuntungan segmen.
Keuntungan segmen naik 6 peratus kepada RM1.19 bilion, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 12 peratus kepada RM2.5 bilion.
Hasil YTL Power naik 41 peratus
YTL Power International Berhad mencatat kenaikan hasil 41 peratus kepada RM7.54 bilion, disokong sumbangan lebih tinggi daripada semua segmen perniagaannya. Keuntungan selepas cukainya susut 7 peratus kepada RM451.7 juta, daripada RM484.7 juta pada suku sama tahun lalu.
Menurut Yeoh, keuntungan sebelum cukai bagi segmen penjanaan tenaga serta air dan pembetungan menurun. Penurunan itu sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan sumbangan segmen pusat data apabila ruang tambahan siap secara berperingkat dan kadar penghunian meningkat.
Malayan Cement Berhad pula mencatat kenaikan keuntungan selepas cukai sebanyak 13 peratus kepada RM227.8 juta. Hasilnya meningkat 9 peratus kepada RM1.33 bilion, didorong sumbangan lebih tinggi daripada perniagaan konkrit siap bancuh, agregat dan campuran kering.
Pendapatan tersedia untuk agihan YTL Hospitality REIT meningkat 4 peratus kepada RM30.6 juta, manakala hasilnya kekal hampir stabil pada RM139.9 juta.



