KOTA KINABALU: Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dilantik sebagai Naib Canselor UMS kelapan.
UMS menerusi hantaran di media sosial merakamkan ucapan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan beliau untuk menerajui kepimpinan universiti berkenaan.
Universiti itu menyambut kepimpinan baharu berkenaan dengan penuh rasa syukur dan penghargaan, selain menaruh harapan agar UMS terus melakar kecemerlangan, meneroka potensi baharu serta melangkah lebih jauh sebagai institusi pendidikan tinggi yang disegani.
“Warga UMS turut mendoakan agar segala urusan dan amanah yang diberikan kepada beliau dipermudahkan serta perjalanan kepimpinan ini membawa lebih banyak kejayaan kepada universiti dan seluruh warganya,” menurut kenyataan itu.
Rosalam memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari University of Bath, United Kingdom, yang diperoleh pada 2006.
Beliau turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dan Proses serta Sarjana Kejuruteraan Alam Sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kepakaran beliau merangkumi teknologi membran dan nanofiber, penulenan air, rawatan air sisa serta pembangunan teknologi mampan yang mempunyai aplikasi dalam sektor industri dan alam sekitar.
Dalam bidang penyelidikan, Pusat Penyelidikan Nanobahan (Nanomaterials Research Centre – NRC) ditubuhkan pada 4 Oktober 2024 bagi memperkasa penyelidikan dan inovasi dalam bidang nanobahan, kejuruteraan mampan serta aplikasi industri.
Selain itu, beliau juga berdaftar sebagai Jurutera Profesional dan mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan penyelidikan serta kerjasama antara universiti dengan industri.
Sebelum menyertai UMS, Rosalam turut mempunyai pengalaman selama lima tahun dalam sektor pemprosesan minyak sawit di Sabah, sekali gus membolehkan beliau membawa pengalaman industri ke dalam bidang akademik dan penyelidikan.
UMS berharap kepimpinan baharu itu dapat terus memperkukuh kecemerlangan universiti dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi, selain membuka lebih banyak peluang untuk meneroka potensi baharu demi masa depan institusi berkenaan.



