KOTA KINABALU: Seorang lelaki tidak bekerja didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, kerana memiliki 1.4 liter air ketum.
Hakim Zaini Fishir menjatuhkan hukuman itu terhadap Abd Hamid Md Salleh, 44, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 30 hari sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Abd Hamid didakwa memiliki 1.4 liter cecair mengandungi mitragynine, iaitu bahan psikotropik yang disenaraikan dalam Jadual Ketiga Akta Racun 1952.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Petagas, Putatan, kira-kira jam 9 malam pada 29 Ogos 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menjalankan Ops Tapis di lokasi berkenaan selepas menerima maklumat.
Ketika operasi itu, polis menahan tertuduh sebelum menjalankan pemeriksaan terhadapnya.
Semasa pemeriksaan, tertuduh menyerahkan beg plastik hitam yang dipegang di tangan kanannya, mengandungi sebotol cecair berwarna hijau disyaki air ketum.
Tertuduh kemudian ditangkap dan dibawa ke pejabat BSJN IPD Penampang untuk tindakan lanjut.
Laporan kimia yang diperoleh daripada Jabatan Kimia Malaysia (Sabah) pada 17 November 2026 mengesahkan cecair berisipadu 1.4 liter itu mengandungi mitragynine.
Dalam rayuannya, Abd Hamid yang tidak diwakili peguam memohon denda dikurangkan dengan alasan mempunyai enam anak yang masih bersekolah.
Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan memaklumkan bahawa tertuduh tidak mempunyai rekod sabitan lampau, namun memohon hukuman berbentuk pencegahan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan, peningkatan kekerapan kes seumpamanya serta kepentingan awam.



