Oleh Normimie Diun
RANAU: Kerja-kerja pemasangan Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) bagi memulihkan talian penghantaran elektrik Pantai Timur Sabah kini mencapai kemajuan 70 peratus, dengan satu lagi konduktor dijangka siap dipasang hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar, berkata menara ERS berjaya didirikan pada tengah hari semalam, sebelum kerja-kerja merentang kabel konduktor dilaksanakan hari ini bagi menghubungkan Menara 312 dari arah Kota Kinabalu ke Menara 314 menuju Sandakan.
Katanya, sebanyak lima konduktor telah berjaya direntang, manakala satu lagi konduktor terakhir sedang dalam proses pemasangan dan dijangka dapat disiapkan sebelum jam 3 petang, sekiranya tiada halangan.
Beliau berkata, selepas konduktor terakhir selesai dipasang, kerja-kerja pemasangan jumper akan dilakukan sebelum talian berkenaan dapat disambungkan semula bagi memulihkan bekalan elektrik melalui satu talian terlebih dahulu.
“Kalau satu konduktor lagi itu berjaya dipasang, sekarang kita nampak ada lima, satu lagi naik, maka akan tinggal sedikit lagi untuk pasang jumper. Selepas itu, kita yakin talian ini boleh dipulihkan.
“Insya-Allah, kalau tiada aral, kita akan berusaha memulihkan bekalan dengan segera hari ini,” katanya pada sidang media di tapak kerja-kerja kecemasan Menara T313, Kampung Sagindai Lama, hari ini.
Seramai 148 tenaga kerja terlibat dalam operasi hari ini, terdiri daripada 64 warga kerja Sabah Electricity dan 84 tenaga kerja kontraktor bagi mempercepatkan kerja pemasangan serta pemulihan talian penghantaran berkenaan.
Sabah Electricity turut melaksanakan pemeriksaan akhir menggunakan helikopter pada kira-kira jam 11 pagi bagi memastikan keseluruhan jajaran talian dari Kota Kinabalu hingga Sandakan bebas daripada sebarang halangan sebelum bekalan elektrik disambung semula.
Menurut Yaakob, pemasangan ERS kedua turut dirancang dan tapaknya telah mula disediakan bagi membolehkan kedua-dua talian penghantaran dipulihkan.
“Kerja-kerja pemasangan ERS kedua dijangka mengambil masa kira-kira tiga hari selepas talian pertama berjaya disambungkan semula.
“Langkah itu penting bagi meningkatkan kapasiti pemindahan tenaga dan mengembalikan keupayaan talian kepada tahap maksimum sebelum kejadian, iaitu sehingga 320 megawatt (MW), sekali gus memperkukuh kestabilan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah,” katanya.

Menara penghantar elektrik T313 di Kg Sagindai Lama, Ranau, tumbang pada 26 November lalu akibat hakisan arus deras Sungai Liwagu susulan hujan lebat, menyebabkan kedua-dua litar talian penghantaran terjejas dan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan Pantai Timur Sabah.



