KOTA KINABALU: Lebih 500 murid dan guru menyertai program Wild Weekend at the Library 2026 bagi mempelajari cara manusia dan hidupan liar hidup bersama dengan selamat.
Bertemakan “One Shared Home”, program itu dilancarkan secara rasmi pada Sabtu lalu oleh Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) dengan kerjasama Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru selaku tuan rumah dan penganjur bersama.
Program tahunan itu turut dianjurkan bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) bagi memupuk minat dan rasa ingin tahu masyarakat, khususnya kanak-kanak dan keluarga, terhadap sains dan alam semula jadi.
Program berteraskan pemuliharaan dan penglibatan komuniti itu menghimpunkan penyelidik hidupan liar, wakil kerajaan, peniaga tempatan, ibu bapa serta murid dan guru daripada beberapa sekolah.
Antaranya ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Linayukan Tongod, SK Kaiduan Papar, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Yin Keningau, SK Luagan Beaufort dan SK Bundu Tuhan Ranau.

Pengarah DGFC, Profesor Benoit Goossens, dalam ucapan perasmiannya berkata meskipun Sabah terkenal di seluruh dunia dengan spesies seperti gajah Borneo, tenggiling dan buaya, usaha pemuliharaan berkait rapat dengan kehidupan seharian masyarakat setempat.
“Manusia dan hidupan liar di sini tidak hidup dalam dunia yang berasingan. Kita berkongsi landskap, laluan air dan musim.
“Hidup bersama bukan bermakna kita berpura-pura bahawa tiada konflik atau risiko. Sebaliknya, ia bermakna kita mempelajari tingkah laku hidupan liar, memahami cara memastikan keselamatan manusia dan haiwan serta mencari pendekatan praktikal untuk hidup bersama dengan saling menghormati,” katanya.
Selepas majlis perasmian, peserta mengikuti siri ceramah pendidikan yang disampaikan oleh pakar dan penggiat pemuliharaan daripada JHLS, Seratu Aatai, Pangolin Aware dan DGFC.
Selain sesi ceramah, program itu turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif yang membabitkan pengunjung daripada semua peringkat umur.
Antaranya pertandingan melukis bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun yang memberi peluang kepada mereka menggambarkan pandangan masing-masing mengenai alam sekitar yang dikongsi bersama di Sabah.
Pengunjung turut berpeluang mengunjungi reruai pemuliharaan, menyokong peniaga tempatan, mengumpul cop menerusi pasport reruai interaktif serta menyertai cabutan bertuah.
Program tahunan itu mendapat tajaan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan Mohd Sharin Mujin.
Goossens turut menekankan bahawa usaha pemuliharaan bukan hanya berlaku jauh di dalam hutan atau di stesen penyelidikan, sebaliknya turut menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakat.
“Pemuliharaan berlaku melalui cara kita bercakap dengan anak-anak mengenai alam semula jadi, cara kita memperlakukan haiwan yang ditemui serta cara kita menjaga tempat yang kita semua anggap sebagai kediaman bersama,” katanya.




