KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengalu-alukan minat yang ditunjukkan oleh Norway dalam sektor pengeluaran tenaga boleh diperbaharui di Sabah ataupun sektor tenaga hijau.
“Norway terkenal dengan keupayaannya dalam pengeluaran tenaga yang boleh diperbaharui menggunakan teknologi terkini,” kata Hajiji semasa menerima menerima kunjungan daripada Duta Norway ke Malaysia, Morten Paulsen di Menara Kinabalu dekat sini, hari ini. (19 Jan)
Hajiji berkata, pertemuan ini memberikan lebih banyak ruang untuk membincangkan dengan lebih mendalam beberapa perkara penting antaranya kerjasama dua hala, peluang pelaburan di Sabah serta kerjasama strategik khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui ataupun sektor tenaga hijau.
“Agenda pengurusan dan pembangunan tenaga lestari merupakan salah satu pelan strategik di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kerajaan Negeri Sabah akan terus meneroka lebih banyak peluang hasil kerjasama sebegini untuk membuka lebih banyak potensi negeri,” katanya.
Rombongan Norway telah berada di Sabah selama lebih seminggu untuk menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa Sabah (SIBES) 2022 , mereka juga turut menyatakan kagum dengan alam semulajadi di Sabah.