KINABATANGAN : Penduduk yang terjejas banjir khususnya di beberapa kawasan di daerah ini diingatkan untuk sentiasa memastikan keselamatan diri termasuk anak-anak sentiasa terjaga.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, ini bagi memastikan tiada sebarang kemalangan atau perkara yang tidak diingini berlaku ekoran trend hujan semasa yang tidak menentu.
“Meskipun ketika ini belum ada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka, namun saya menyeru kepada semua penduduk kampung termasuk anggota keselamatan agar sentiasa bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan ekoran trend hujan semasa yang tidak menentu.
“Dalam pada itu, saya dan juga pihak berkaitan sedang mengenal pasti langkah penyelesaian jangka panjang ke arah mengurangkan kesan serta kemusnahan ditanggung akibat banjir di kawasan terjejas banjir khususnya di kampung ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan turun padang bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Suan Lamba Kinabatangan disini hari ini.
Jafry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau berkata, langkah penyelesaian itu termasuklah mendalamkan anak sungai yang ada dan membina tebing konkrit di sepanjang sungai bagi mengelak air daripada melimpah.
“Jika boleh untuk penyelesaian jangka panjang kita mahu membina tebing konkrit bagi memastikan pengaliran air akibat hujan berjalan secara baik.
“Ini semua akan dapat kita laksanakan, saya yakin dan percaya masalah banjir di kawasan perumahan peneroka rancangan peringkat 1, 2 ini dapat kita selesaikan,” katanya.
Hujan yang berterusan sejak selasa lalu menyebabkan air sungai berhampiran melimpah ke rumah penduduk kampung semalam.
Walau bagaimanapun hasil tinjauan, air telah surut dan penduduk yang terjejas kini dalam proses membersihkan rumah masing masing.
Bagi penduduk, Mardan Sariman berkata, kejadian banjir yang berlaku di kawasan rumahnya telah berlaku sebanyak sembilan Kali.
“Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk (Jafry) kerana sudi turun padang melawat kami seterusnya menyampaikan bantuan,”katanya.
Sementara itu, penduduk Ugih Andoh berkata, bantuan seperti tilam dan keperluan lain dilihat mampu membantu meringankan beban mereka sekeluarga.
“Syukur, dengan bantuan yang diberikan ini sudah tentu akan dapat meringankan beban kami yang sebelum ini terjejas banjir,”katanya.
Antara sumbangan yang disampaikan adalah termasuk bantuan berupa wang ringgit, makanan serta barangan keperluan harian.