PENAMPANG: Kerajaan Filipina atau Pentadbiran Kebajikan Pekerja Luar Negara (OWWA) diminta membantu rakyat mereka yang terjejas akibat bencana kebakaran di negeri ini.
Demikian menurut Ketua Bahagian Kapayan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jafery Jomion, memohon agar kerajaan Filipina atau OWWA yang berpusat di negara itu boleh membantu warga mereka sendiri kerana tiada mangsa lain berasal dari negara lain atau pun Indonesia yang terlibat dalam kebakaran yang berlaku pada Rabu lalu di Kampung Mogoputi, dekat sini.
Beliau berkata, mengikut rekod Jabatan Kebajikan yang menguruskan mangsa kebakaran terdapat 154 orang dipercayai warga Filipina yang tidak mempunyai sebarang dokumen.
“Mengikut rekod seramai 174 daripada 29 keluarga adalah mangsa yang ditempatkan di penempatan sementara, hanya enam mangsa adalah warga tempatan, tujuh warga Filipina pemegang penduduk tetap dan tujuh warga Filipina pemegang dokumen IMM13 manakala selebihnya iaitu seramai 154 adalah individu yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya selepas melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di Dewan Kebudayaan Penampang pada Sabtu.
Dalam pada itu, Jafery turut meminta supaya pemilik rumah sewa tidak membina rumah terlalu rapat kerana keadaan itu turut mengundang bahaya jika berlaku kebakaran di mana ia akan merebak dengan cepat sekali gus memusnahkan rumah berhampiran.
“Hasil pemeriksaan, rata-rata mereka adalah penyewa membabitkan 29 pintu rumah dan tempat mereka tinggal juga padat.
“Keadaan ini sangat bahaya kepada penyewa itu sendiri dan pemberi sewa juga patut melihat semula keadaan ini supaya tidak membina rumah terlalu dekat,” tegasnya.
Tambah Jafery lagi, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga harus memainkan peranan bagi mengelak kejadian itu berulang.
“Kita mohon juga kepada PBT dan semua agensi kerajaan menetapkan garis panduan untuk membina rumah sewa yang melebihi satu unit ke atas perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu.
“Ini termasuk dari segi aspek keselamatan, penempatan lebih teratur dan rekod imigresen perlu dikemas kini,” katanya.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Ketua Kampung Mogoputi Rosina Joeman Ros, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Mogoputi Stefania Richard dan Ketua Pemuda Bahagian Kapayan, Nelson Martin Idang.