HomeSukanKDM Malaysia Anjur Bola Sepak Veteran Campuran

KDM Malaysia Anjur Bola Sepak Veteran Campuran

Read Time:2 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia kembali menganjurkan kejohanan bola sepak bermula dengan kategori veteran campuran bermula Mac depan.

Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, KDM Malaysia akan berkerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) daerah-daerah Pedalaman Atas dan Penampang menganjurkan kejohanan itu.

Kejohanan itu dinamakan Kejohanan Bola Sepak Mix Veteran Piala Pertubuhan KDM Malaysia 2022 dengan tawaran hadiah lumayan termasuk wang tunai keseluruhan lebih RM20,000.

Juara akan menerima wang tunai RM10,000; kedua RM6,000; ketiga RM4,000 dan keempat RM2,000.

Pasukan yang mengambil bahagian akan dikenakan bayaran RM2,000 iaitu RM1,000 untuk yuran penyertaan dan RM1,000 sebagai wang jaminan. Setiap pasukan bagaimanapun akan menerima satu set jersi.

“Kami sudah buat persiapan (menganjur)…borang penyertaan akan diedarkan dalam masa terdekat. Bagaimanapun, penyertaan hanya dihadkan untuk 16 pasukan sahaja ‘berdasarkan siapa cepat dia dapat’.

“Penyertaan juga hanya terbuka untuk 11 pasukan lagi kerana lima tempat sudah diisi pasukan dari daerah-daerah SAFA yang terlibat dengan penganjuran iaitu Tenom, Keningau, Nabawan, Tambunan dan Penampang,” kata Peter dalam satu kenyaataan di sini hari ini.

Pertandingan akan dijalankan secara liga kumpulan pada peringkat awal di mana pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan. Dua pasukan teratas dari setiap pasukan akan meneruskan cabaran ke pusingan suku akhir yang dijalankan secara kalah mati.

Kejohanan adalah untuk pemain berusia 45 tahun ke atas  tetapi pasukan dibenarkan menyenaraikan penjaga gol berusia 40 tahun ke atas dan dua pemain berusia 40-44 tahun dalam kesebelasan setiap perlawanan.

“Pasukan boleh daftar maksima tiga pemain berusia 40-44 tahun tetapi hanya dua pemain boleh disenaraikan dalam kesebelasan utama. Penjaga gol juga boleh berusia 40 tahun ke atas. Pasukan boleh mendaftar maksima 25 pemain,” katanya.

Venue kejohanan adalah  padang-padang di Keningau termasuk Kompleks Sukan Keningau dan Tambunan.

“Sepak mula kejohanan dijadualkan pada 19 Mac melibatkan semua pasukan. Kejohanan juga akan dirasmikan pada hari sama (19 Mac) selepas perlawanan pusingan pertama selesai.

“Antara pengisian upacara perasmian ialah penyerahan jersi kepada setiap pasukan dan  perlawanan bola sepak antara pasukan penganjur dan pasukan bekas pemain Sabah.

“Kejohanan ini adalah antara sedikit sumbangan KDM Malaysia memberikan ruang dan peluang kepada pemain-pemain yang sudah berusia untuk terus aktif bersukan di mana ada permintaan tinggi dari mereka untuk diadakan kejohanan seperti ini,” kata Peter.

Beliau berkata, selepas kejohanan veteran campuran itu, KDM Malaysia juga sudah merancang untuk menganjurkan edisi ketiga kejohanan terbuka yang kali terakhir dianjurkannya untuk edisi kedua pada 2018-2019.

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala SMJ : Persiapan Sabah FC untuk lihat kekuatan, kelemahan pasukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya