KOTA KINABALU : Lembaga Tabung Haji (TH) menyumbang 81 unit katil ’tilt elektronik’ bernilai RM1.8 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, sumbangan menerusi program afi’at itu bertujuan membantu meringkan tanggungan hospital-hospital seluruh negara.
Katanya, ini termasuklah yang masih memerlukan katil-katil Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi menampung jumlah pesakit COVID-19 dan juga pesakit kritikal.
“Sejak Program Afi’at TH ini diperkenalkan pada tahun 2012, mesin dan peralatan perubatan bernilai hampir RM6 juta telah disumbangkan kepada hospital-hospital KKM.
“Usaha berterusan serta keprihatinan TH ini wajar dijadikan contoh ikutan kepada agensi-agensi agama serta badan-badan korporat Keluarga Malaysia untuk sama-sama menyumbang kepada KKM, baik dalam bentuk peralatan atau pun lain-lain keperluan untuk petugas barisan hadapan,” katanya.
Katanya pada Majlis Serahan Program A’fiat TH di Dewan Hospital Queen Elizabeth II, disini hari ini.
Hadir sama, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Pengarah Wilayah Tabung Haji Sabah dan Sarawak, Datin Nurlaila Said, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato Dr Sirajudin Suhaimee.
Idris berkata, pihaknya berharap akan ada lebih banyak lagi kolaborasi antara TH dan KKM pada masa hadapan selaras dengan inisiatif 5 mantap bersama agensi Islam untuk menyantuni Keluarga Malaysia mendepani COVID-19.
Untuk rekod, pada tahun 2020 TH telah menyumbang 57 buah mesin hemodialisis berjumlah hampir RM2 juta kepada 42 buah hospital kerajaan dalam usaha menangani wabak COVID-19.