HomeUtamaSabah, Terengganu Sedia Kerjasama Bangunkan Produk Pelancongan Berasaskan Komuniti

Sabah, Terengganu Sedia Kerjasama Bangunkan Produk Pelancongan Berasaskan Komuniti

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU : Sabah sedia menjalin kerjasama erat dengan Terengganu selain bertukar pendapat bagi meningkatkan lagi industri pelancongan untuk menarik lebih ramai pengunjung datang kedua-dua buah negeri tersebut.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata, pihaknya turut berbesar hati apabila Terengganu mengambil negeri ini sebagai contoh dan inspirasi bagi membangunkan produk pelancongan berasaskan komuniti (CoBT).

“Sudah tentu bagi negeri Sabah kita berbesar hati apabila Terengganu mengambil negeri ini sebagai contoh untuk membangunkan produk CoBT dan memperkasakan lagi komuniti luar bandar mereka.

“Pelancaran laluan penerbangan terus Kota Kinabalu – Terengganu baru-baru ini juga menunjukkan betapa pentingnya untuk kedua-dua negeri ini bekerjasama bagi merealisasikan matlamat pelancongan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan rombongan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu yang diketuai pengarahnya Fadli Yusof Zakaria yang mengadakan lawatan ke Sabah disini kelmarin.

Rombongan itu turut berpeluang mengunjungi Kiulu bagi mempelajari secara langsung bagaimana pelancongan CoBT dijalankan.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata, pihaknya percaya STB dan Jabatan Pelancongan Terengganu boleh berkolaborasi bagi menggalakkan pengendali CoBT melawat satu sama lain.

Katanya, ia membolehkan mereka membina hubungan professional dan bertukar pengetahuan serta pengalaman.

“Laluan penerbangan baharu Air Asia yang dilancarkan baru-baru ini juga memberi faedah kepada para pengembara dan pemain industri pelancongan kerana orang ramai kini mempunyai akses percutian mudah antara Sabah dan Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA) Mejin Maginggow, berkata rombongan Jabatan Pelancongan Terengganu begitu teruja dan tertarik dengan cara pengurusan serta kerjasama komuniti dalam mengusahakan CoBT.

“Maklum balas dari pengarah Pelancongan Terengganu pada lawatan ini, adalah mereka dapat menimba ilmu dan mempelajari bagaimana komuniti di Kiulu menjalankan perusahaan pelancongan yang membawa keuntungan.

“Ini adalah sesuatu yang baharu bagi mereka, dan mereka telah memperoleh banyak idea baharu untuk dikongsi bersama dengan pengusaha (pelancongan) di Terengganu, yang kebanyakannya merupakan pengusaha persendirian.

“Lawatan pembelajaran itu juga membolehkan rombongan mendapat pemahaman tentang cara mewujudkan CoBT yang mantap yang mampu menjana pendapatan di negeri Terengganu nanti,” katanya, sambil menambah KTA terbuka untuk berkongsi kepakaran CoBT dengan komuniti luar bandar di negeri lain.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular