Aktiviti Sukan Wadah Integrasi Dalam Kalangan Masyarakat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 48 Second

TAMPARULI: Aktiviti sukan mampu menjadi wadah integrasi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum selain mampu mengeratkan silaturrahim.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, kesepakatan itu mampu dilihat dalam apa juga aktiviti sukan yang diceburi.

“Pada hari ini (semalam), kita melihat perlawanan yang diadakan ini disertai oleh pemain dari pelbagai kau yang turun padang untuk menunjukkan bakat dan kemampuan .

“Kita juga dapat lihat, dalam sebuah pasukan, perbezaan kaum dan agama tidak pernah menjadi isu. Malah hubungan akrab, saling menghormati dan semangat saling bekerjasama bagi menyahut cabaran sebagai satu pasukanlah yang menjadi nadi kejayaan sesebuah pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan perlawanan akhir Pertandingan Bola Sepak Veteran 50 tahun ke atas anjuran RRB FC, di Padang Pekan Tamparuli, di sini semalam

Hadir sama Setiausaha RRB FC, yang juga Pengerusi Penganjur Kejohanan, Sudi Tanggara, dan Ahli Jawatankuasa (AJK) tertinggi RRB, Jaipin Rasimin.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, kepelbagaian agama dan bangsa dalam suatu aktiviti sukan juga berupaya menyatupadukan kaum.

Beliau turut mengulas tentang sesetengah orang yang kekal aktif walaupun pada usia lanjut, di mana, kian ramai individu lanjut usia lebih berminat membina stamina mereka dengan bersukan.

“Syabas dan tahniah kepada semua AJK RRB dan pasukan-pasukan yang telah menyertai pertandingan ini, saya difahamkan mereka datang dari pelbagai daerah dan terpaksa dihadkan penyertaannya, bagi menjaga Operasi Prosedur Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Difahamkan, kesemua pasukan telah memberikan komitmen dan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang pertandingan, tahniah,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini kemudahan di padang tersebut, Jahid berkata, astaka padang Pekan Tamparuli kini telah dibina semula baru-batu ini dengan menggunakan material baharu berbentuk konkrit bernilai RM50,000.

Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging, memberitahu, padang tersebut juga telah ditambah baik dan permukaannya akan memberi lebih keselesaan untuk bermain bola sepak.

“Lampu limpah solar yang sedia ada juga akan ditambah jumlahnya agar padang akan jadi lebih terang bagi memberi semangat kepada mana-mana pasukan yang menggunakannya kelak.

Perlawanan akhir mempertemukan Ex-Presta FC yang dibarisi beberapa bekas pemain Sabah, menentang Ranau Classico FC itu berakhir dengan keputusan seri 1-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kemenangan ditentukan menerusi tendangan penalti, yang memihak kepada Ranau Classico.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *