KOTA KINABALU : Statistik jangkitan COVID-19 di Sabah yang rendah pada hari ini adalah hasil keberkesanan vaksin yang telah diberi kepada hampir keseluruhan penduduk yang layak di negeri ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tahap pematuhan kepada prosedur standard operasi (SOP) yang tinggi dikalangan rakyat di negeri ini juga membantu mengurangkan jumlah jangkitan.
“Adalah diharapkan agar disiplin tinggi ini terus diamalkan apatah lagi semasa kita merayakan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Pada hari ini juga, jumlah jangkitan bagi seluruh Sabah jatuh dibawah paras angka 50 apabila hanya 48 kes dilaporkan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Masidi berkata, jumlah harian itu juga adalah yang terendah sejak 30 Mac 2021 yang lalu serta penurunan sebanyak 12 kes berbanding jumlah semalam.
Katanya, keadaan di semua daerah menunjukkan penstabilan dengan perubahan angka harian yang kecil, samada naik atau turun.
“Kecuali Kota Kinabalu yang mencatatkan 21 kes baharu (-5), semua daerah di Sabah mencatatkan kes baharu dibawah paras angka lima.
“Malah tidak ada jangkitan baharu dilaporkan di 11 daerah. Lapan daripada 15 daerah yang mencatatkan jangkitan baharu satu angka merekodkan hanya satu kes baharu di daerah masing-masing,” katanya.
Katanya, seramai 44 orang daripada 48 pesakit baharu hari ini adalah dalam Kategotri 1 dan Kategori 2, tiga orang dalam Kategori 4 dan seorang pesakit dalam Kategori 5.
“Tidak ada pesakit dalam Kategori 3,” katanya.