RANAU: Seramai 30 orang kanak-kanak Tadika di daerah ini menerima Akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime 2022 di Dewan Arena Belia, Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) di sini pada Sabtu.
Timbalan Menteri II, Kementerian Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin berkata , usaha Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mentranformasikan minda diawal usia muda kanak-kanak masyarakat Malaysia agar membuat penabungan demi masa depan merupakan suatu yang amat murni.
Katanya, sebagai tabung pendidikan utama negara PTPTN telah berdiri megah sebagai ‘Super Hero’ berperanan untuk menyemai amalan penabungan kepada ibu bapa di negara ini.
Jonathan menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Program Didik Simpan ‘Skim Simpanan Pendidikan Nasional’ (SSPN) 2022 Peringkat Parlimen Negeri Sabah di sini, hari ini.
Menurut Jonathan, kerajaan Negeri Sabah sentiasa mengambil berat dan proaktif untuk membantu rakyat menaik taraf hidup serta memikirkan bahawa peranan ibu bapa sangat penting memastikan pada masa depan anak-anak dapat mengubah kehidupan keluarga menerusi perancangan kewangan dan pendidikan yang komprehensif.
Beliau menjelaskan, program Didik Simpan SSPN, melibatkan sumbangan Zakat kepada 6,400 orang pelajar asnaf di 128 kawasan terpilih di beberapa buah negeri dengan sumbangan dalam bentuk Akaun Simpan SSPN Prime melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM640,000.
“Bagi Negeri Sabah, Program Didik Simpan SSPN melibatkan 25 kawasan dengan jumlah sumbangan sebanyak RM125 ribu dengan 50 orang pelajar asnaf di setiap kawasan yang bakal menerima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM100 seorang dengan peruntukan berjumlah RM5 ribu bagi setiap kawasan.
“Program ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sabah dimana pagi ini berjumlah RM45 ribu akan disampaikan bagi kawasan Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tuaran, Sepanggar, Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Ranau,” katanya.
Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau memaklumkan, kerjasama Kerajaan Negeri dengan PTPTN telah terjalin erat sebelum ini di mana Pelancaran Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (BISTARI) telah pun terlaksana.
“Pelancaran itu satu inisiatif murni Kerajaan Negeri Sabah dalam memupuk budaya menabung seawal usia kanak-kanak melibatkan RM5 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri Sabah sejak 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022 dan sumbangan diberikan dalam bentuk tabungan Simpan SSPN Prime dengan jumlah RM100 setiap orang,” tambah Jonathan.
Hadir sama di majlis itu Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Ranau, Rosnati Abd Rahim.