HomeIsu tempatanKerjasama pelbagai pihak bantu banteras isu penyalahgunaan dadah

Kerjasama pelbagai pihak bantu banteras isu penyalahgunaan dadah

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Konsep Kebersamaan Keluarga Malaysia penting dalam usaha membanteras isu penyalahgunaan dadah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak merupakan langkah penting bagi menjayakan usaha tersebut.

“Contohnya, penglibatan berterusan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bersama dengan institut pengajian tinggi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menganjurkan pelbagai program kesedaran penyalahgunaan dadah kepada belia terutama di Sabah.

“Selain itu, peranan sesebuah komuniti dan keluarga bekerjasama bersama juga penting bagi memastikan golongan belia tidak terus terpengaruh dengan anasir-anasir negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Keluarga Bahagia Belia Sebagai Pemimpin Siri III, di sini semalam.

Shahelmey berkata, sokongan, perhatian dan kesedaran daripada kaum keluarga, komuniti dan media juga akan dapat membantu belia supaya tidak mudah terjebak dengan penyalahgunaan dadah serta menguatkan jati diri mereka agar tidak terus terpesong ke kancah yang tidak sihat ini.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai kerjasama antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama AADK dan Hospital Pakar KPJ dalam usaha menganjurkan program serta ceramah tersebut yang berperanan meningkatkan kesedaran belia terhadap peranan mereka dalam institusi keluarga.

“Ini merupakan satu usaha holistik dan mampu memberi ilmu pengetahuan kepada belia dan ibu bapa yang hadir tentang bahaya dan kesan buruk pengambilan dadah kepada diri,keluarga,masyarakat dan negara.

“Segala usaha dan kerjasama erat yang ditunjukkan ini juga dipercayai akan memberikan impak yang besar terhadap perkembangan gagasan Keluarga Malaysia di negeri ini.

“Syabas dan tahniah atas kerjasama tersebut dan diharap juga para belia yang hadir akan dapat manfaat daripada perkongsian yang disampaikan dan seterusnya diaplikasikan serta disampaikan kepada masyarakat di luar sana,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Hospital Pakar KPJ Sabah, Profesor Datuk Dr. Ajaz Ahmad Nabijan, Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS, Profesor Dr.Murnizam Halik, Profesor Madya Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS, Profesor Madya Dr. Balan Rathakrishnan dan Ketua Pegawai AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Teknologi membran selesai masalah pelbagai sektor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular