Dua mangsa rentung dalam kebakaran di Kg Titingan Tawau

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 17 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

TAWAU: Dua mangsa rentung dalam satu kejadian kebakaran rumah di Kg Titingan, Jalan Tawau Lama di sini tengah malam tadi. (12 Jun)

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.53 tengah malam pada Ahad mengenai kejadian tersebut.

“Sepasukan Bomba tiba ke lokasi kejadian mendapati terdapat satu kebakaran melibatkan lima buah rumah, tiga daripadanya terbakar 100 peratus dan dua buah rumah lagi terbakar 40 peratus dan 60 peratus.

“Operasi pantas pemadaman api dijalankan menggunakan dua aliran melalui sumber air dari Jentera Bomba dan bantuan daripada Bomba Komuniti Sri Titingan serta menggunakan pam angkut sumber air dari Jabatan Air.

“Dalam kejadian itu terdapat dua orang mangsa rentung dalam kebakaran telah disahkan oleh pihak pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.

“Kedua-dua mangsa rentung wanita dikenali sebagai Sadiah Jabar, 70 dan Kamisah Mapiasah, 40, dipercayai ahli keluarga yang tinggal serumah semasa kejadian itu.

“Difahamkan kedua-dua mangsa tinggal bersama dua orang lagi ahli keluarga yang lain tetapi mereka sempat menyelamatkan diri semasa kejadian,” kata Julius yang juga Pegawai Operasi kejadian semasa dihubungi pemberita Sabah Media pagi ini.

Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara, agensi-agensi lain yang turut membantu semasa kejadian itu iaitu pasukan Bomba Komuniti Sri Titingan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tawau, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Operasi dilaporkan terkawal pada jam 1.32 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.08 pagi tadi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *