HomeUtamaBukan masanya berpolitik tapi kerja keras untuk rakyat dan majukan Sabah -Masidi

Bukan masanya berpolitik tapi kerja keras untuk rakyat dan majukan Sabah -Masidi

Read Time:2 Minute, 15 Second

RANAU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Menteri Kewangan II, Datuk Seri Masidi Manjun menyeru kepada semua pemimpin di negeri ini supaya bekerja keras untuk rakyat dan memajukan Sabah.

“Ini bukan masanya bagi kita berpolitik, ini masanya betul-betul bekerja keras untuk memajukan Negeri Sabah, ini yang kita mahukan, kita jarang buat kenyataan politik kerana yang penting kita sudah janji kepada rakyat, yang kita buat itu dan ini, jadi ini masanya kita pemimpin turun bekerja dan rakyat juga turut bekerjasama untuk memastikan Sabah bersedia menjadi negeri yang lebih baik dalam negara ini.

“Janganlah kita terikut-ikut dengan politik di tempat lain, sikit-sikit mahu gaduh, tidak perlu kita gaduh, setiap lima tahun kita pilih siapa kita mahu, lepas pilihanraya balik lagi bekerja,” tegasnya semasa berucap di Majlis Perasmian Pembukaan Cawangan Ke-4 Lee Nyap Group Sdn Bhd Bersempena Ulang Tahun Lee Nyap Auto Parts Ke-35, bertempat di Kiaburi Plaza, dekat sini pada Ahad.

Masidi turut menjelaskan bahawa pihak kerajaan sentiasa berusaha untuk mencari jalan memajukan pembangunan dalam bidang ekonomi di negeri ini selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kita dalam kerajaan sentiasa bekerja keras memajukan dan mencari jalan dalam usaha menyelenggara aktiviti ekonomi kita agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat kita diadakan.

“Sabah sudah jauh ketinggalan, inilah masanya kita bekerja, secara peribadi, bukan soal suka tidak suka, saya mahu rakan politik saya rajin bekerja, selagi dia ikhlas untuk bekerja, saya fikir kita bagi peluang untuk dia bekerja.

“Bukan gelaran, pangkat dan pujian orang, apa yang penting, kehadiran kita serta keberadaan kita dalam politik, sedikit sebanyak kena berkorban untuk nasib rakyat,” katanya.

“Kita tidak mahu pemimpin banyak cakap, FB penuh dengan kritik tapi tidak bekerja, tempat sendiripun tidak maju, itu bukanlah yang kita mahu, kita mahu kerja, kerja, kerja…itu saja.

“Mati dalam pekerjaan lebih mulia dari mati terlalu bising buka mulut memaki orang, itu tidak berguna, kita kena tukar minda dan sikap kita, kita kena melihat bagaimana hubungan kita dengan kepimpinan, ini juga motivasi untuk diri sendiri juga, lakukan dan cakap yang benar.

“Apa benar dan apa yang popular adalah dua perkara yang berlainan, kadang-kadang dia marah orang cakap sesuatu yang tidak popular tapi benar, saya fikir lebih baik orang bercakap benar walaupun ada pihak tidak berpuashati mengenainya,” tambahnya.

Terdahulu dalam majlis itu, Masidi dalam ucapan perasmiannya mengucapkan tahniah kepada Syarikat Lee Nyap Group Sdn Bhd dan berharap syarikat itu akan lebih maju dan berkembang bukan sahaja di daerah Ranau tetapi di daerah-daerah lain di seluruh Sabah. Selain itu, ia merupakan antara syarikat berjaya yang banyak menyumbang dalam gerak kerja komuniti di daerah itu.

Masidi berharap lebih banyak syarikat yang berjaya juga akan menyediakan sedikit daripada keuntungan mereka untuk membantu mereka yang perlukan bantuan.

RELATED ARTICLES
Utama

Pasukan sukarelawan dicadang diwujudkan bantu mangsa banjir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular