Oleh ERDIE AB WAHID
[email protected]
KOTA KINABALU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya melaksanakan pemeriksaan di 936 premis di seluruh negeri menerusi Operasi Ayam, Telur dan Minyak (Ops ATM).
Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, Ops ATM itu dilaksanakan kepada dua fasa iaitu pada 23 Jun hingga 30 Jun (fasa pertama) dan fasa kedua dilaksanakan bermula 1 Julai sehingga 31 Julai lalu.
“Berdasarkan statistik pemeriksaan di bawah Ops ATM sehingga 8 Julai lalu, sebanyak 936 premis telah diperiksa di seluruh Sabah dan sebanyak 20 kes berjaya dihasilkan di bawah kesalahan Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 (Penandaan Harga bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020.
“KPDNHEP terus komited untuk melaksanakan tindakan mengawalselia bekalan dan harga barang kawalan serta keperluan asas di setiap peringkat rantaian bagi memastikan keberadaan bekalan barang terutamanya ayam, telur ayam dan minyak masak mencukupi,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Georgie berkata, pelaksanaan Ops ATM adalah bertujuan untuk membanteras dan menggempur aktiviti menyorok barang kawalan selain memastikan keberadaan bekalan terutama barang makanan negara sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna pada harga berpatutan pada setiap masa.
Katanya, anggota penguatkuasa KPDNHEP Sabah juga akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari.
“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Skim ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti yang telah ditetapkan,” katanya.