SANDAKAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sandakan akan terus melaksanakan pemantauan bagi memastikan bekalan barang keperluan khususnya barangan bersubsidi mencukupi.
Ketua Pegawai KPDNHEP Cawangan Sandakan Azdy Zukkry John berkata, ini termasuklah mengadakan operasi bersepadu dengan kerjasama agensi penguatkuasa lain seperti Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
“Selain pemantauan di daratan, kita juga akan melaksanakan operasi bersepadu di kawasan perairan dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasa lain dalam memastikan kegiatan penyelewengan barangan bersubsidi ini dapat dikawal.
“Ini juga adalah bagi memastikan aktiviti memanipulasi barangan bersubsidi dapat dibanteras dan pengguna juga dapat menikmati keperluan barangan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Terdahulu, KPDNHEP Cawangan Sandakan telah melaksanakan Ops Bersepadu bersama PPM Wilayah 4 Sandakan di sekitar perairan Sandakan di sini kelmarin.
Operasi itu turut disertai seramai 12 anggota PPM Wilayah 4 Sandakan dan lima penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Sandakan.
Dalam pada itu, Azdy berkata, pihaknya juga bercadang untuk mengadakan lawatan ke pulau-pulau sekitar daerah ini.
Katanya, lawatan itu adalah bagi membantu peniaga runcit mendapatkan lesen berniaga selain cara memohon lesen berniaga agar tidak melanggar peraturan yang ditetapkan KPDNHEP.