HomeSukanKBS Sabah laksana program rentas agensi

KBS Sabah laksana program rentas agensi

Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah telah melaksanakan beberapa program rentas agensi khususnya melibatkan program pembangunan belia di negeri ini selaras dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, program-program yang dilaksanakan itu adalah bagi menjadikan belia di Sabah terus cemerlang dan matang.

Antara agensi terlibat termasuklah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, Majlis Belia Sabah (MBS), Pejabat-Pejabat Daerah dan Persatuan-Persatuan Belia.

Katanya, antara program pembangunan yang memberi impak besar kepada golongan belia adalah program-program ‘signature’ kementerian iaitu Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS), Sabah Youth Excellance & Creative Centre (SYECC), Sabah Youth Research Centre (SYRC) dan Youth Management System (YMS).

“Kesemua program ini adalah memfokuskan kepada pembangunan belia dan aspek kepimpinan, kesukarelawan dan keusahawanan.

“Saya juga suka memaklumkan bahawa antara aktiviti-aktiviti yang telah dirancang dan dilaksanakan melalui tiga program utama ini adalah felo SMJ, Skim Dana Usahawan Jaya Belia (SYABAS), Program Kemahiran Jangka Pendek dan akan datang adalah Program Dewan Belia Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam bicara naratif sempena Sambutan Karnival Hari Belia Negeri Peringkat Kebangsaan di Studi TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah di sini hari ini.

Ellron berkata, pihaknya turut menggunakan kaedah ‘worm’s eye methode’ bagi mendapatkan input yang berfokus daripada akar umbi.

Katanya, program-program jerawaraya luar bandar telah dilaksanakan dan kementeriannya telah mendapat beberapa input penting yang dilontarkan sendiri para belia bagi pihak kerajaan menyantuni golongan belia bandar dan luar bandar.

Dalam pada itu, Ellron berkata, KBS Sabah melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah telah merangka beberapa program baru yang khusus untuk sukan berprestasi tinggi.

Katanya, MSN Sabah baru sahaja menubuhkan Pusat Sains Sukan Sabah yang akan memberikan impak prestasi kepada atlet-atlet negeri Sabah.

“Secara keseluruhanya, MSN Sabah akan memastikan dua elemen penting dalam kemajuan sukan iaitu pembangunan atlet dan kepegawaian teknikal sukan.

“Bagi menjaga keperluan dan kemudahan sukan, agensi kementerian saya iaitu Lembaga Sukan Negeri Sabah akan mengurus, menyelia dan memaksimakan penggunaan kompleks-kompleks sukan yang ada di negeri Sabah,” katanya.

Katanya, pembinaan kemudahan-kemudahan sukan rakyat dan pembaikan padang-padang luar bandar giat dilaksanakan di seluruh sabah bergantung dengan peruntukan semasa.

‘Dengan pembinaan kemudahan-kemudahan ini, saya mengharapkan masyarakat Sabah menggunakan dengan sebaik mungkin agar budaya gaya hidup sihat itu diamalkan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup barang kawalan berjaya digagalkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular