HomeIsu tempatanPesara penjawat awam diseru turunkan ilmu & pengalaman kepada generasi muda

Pesara penjawat awam diseru turunkan ilmu & pengalaman kepada generasi muda

Read Time:2 Minute, 8 Second

RANAU: Semua penjawat awam yang telah bersara diseru supaya menurunkan ilmu kepakaran luas mereka dalam pelbagai bidang dan pengalaman kepada generasi hari ini dan tidak menjadi ahli masyarakat yang pasif.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, selain itu golongan pesara juga harus mengikis tanggapan bahawa selepas bersara, maka tamatlah khidmat mereka kepada masyarakat.

“Sebagai pesara, kita boleh menurunkan ilmu dan pengalaman dalam pelbagai bidang, bukan sahaja kepada golongan muda hari ini, tetapi juga kepada mereka yang masih berkhidmat, supaya mereka dapat mengambil iktibar daripada pengalaman kita.

“Ya memang benar apabila seseorang itu mencapai umur persaraan, maka sudah tiba masanya untuk berehat. Walau bagaimanapun ia tidak bermakna bahawa itu akan menjadi penghujung kepada kita. Malah, ia sebenarnya satu permulaan yang baru.

“Banyak contoh yang boleh kita lihat tentang pesara yang menjenamakan semula diri mereka dan berjaya selepas mereka mendalami hobi, perniagaan atau panggilan baharu. Cari apa yang sesuai untuk kita, selagi kita masih ada kemampuan untuk berbuat demikian,” katanya.

Abidin yang juga Adun Paginatan berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Kaamatan 2022, Persatuan Pesara Kerajaan Sabah (PPKS) Ranau yang diadakan di Mini Dewan Kg Lasing pada Selasa.

Sementara itu, beliau berkata Kaamatan merupakan sambutan yang sangat unik dan penting kerana ia dipenuhi dengan pelbagai program yang diadakan bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di kawasan masing-masing.

“Kita perlu memelihara dan mengekalkan keamanan, persahabatan dan kebersamaan yang baik di negara ini. Melalui Kaamatan, kita terpanggil untuk bersama-sama mengekalkan semangat perpaduan dan persefahaman demi kecemerlangan dan kemajuan negara.

“Berbeza dua tahun lalu, tahun ini pelbagai aktiviti boleh diadakan untuk Kaamatan serta sambutan perayaan lain. Kali ini kita dapat meraikannya secara fizikal.

Bagaimanapun, kita mesti terus mengamalkan dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Seperti yang kita tahu, hubungan murni dan kerjasama antara pelbagai kaum adalah selaras dengan aspirasi kerajaan negeri yang sentiasa dan terus fokus kepada agenda perpaduan,” katanya.

Beliau memuji dedikasi serta semangat semua ahli PPKS Ranau kerana menjayakan penganjuran majlis itu pada Selasa, dan menggalakkan mereka meneruskan semangat dalam mengekalkan persatuan.

Dalam majlis itu, Abidin menyumbang RM5,000 kepada PPKS Ranau bagi tujuan membiayai program dan aktiviti persatuan dalam masa terdekat, sambil menggesa semua ahlinya untuk terus aktif dalam berpersatuan.

Selain itu, beliau juga komited untuk meneliti permintaan pengerusi persatuan itu mengenai permohonan tanah yang dibuat untuk PPKS yang telah tertangguh beberapa tahun daripada pihak berkuasa berkenaan.

Hadir sama pada majlis tersebut, Presiden PPKS, Datuk Wilfred Lingham, Pengerusi PPKS Ranau, Aloysius Labi, Pengerusi Pengelola, Amin Hamid, dan ahli-ahli PPKS Ranau yang lain.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

35 pelajar TARUMT hadir sebagai pemerhati sidang DUN Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya