KOTA KINABALU : Hasrat Sabah FC untuk melangkah ke saingan Separuh Akhir Piala FA tidak kesampaian apabila tewas 0-2 ditangan Selangor FC pada saingan suku akhir di Stadium Likas malam ini.
Usaha tuan rumah memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri sekali lagi gagal apabila dikejutkan dengan jaringan seawal minit pertama menerusi jaringan Hyuri Henrique selepas gagal dihalang penjaga gol Sabah Damien Lim yang keluar awal dari pintu gawang untuk menangkap bola.
Kesilapan pertahanan tuan rumah yang sebelum itu menyangka pemain Selangor telah berada dalam keadaan ofsaid ketika melakukan serangan mengejut seterusnya menjaringkan gol pertama turut mengecewakan para penyokong Sabah FC yang hadir lebih 20,000 penonton.
Selangor FC terus menunjukkan permainan yang mantap pada minit awal permainan menerusi beberapa percubaan ke gawang Sabah FC.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu terus mengatur serangan ke gawang Selangor FC menerusi percubaan Stuart Wilkin pada minit ke-13 yang sebelum itu menerima bola hantaran Saddil Ramdani namun sepakannya terus ke dakapan penjaga gol pasukan pelawat Samuel Jacob.
Tuan rumah sekali lagi berpeluang menyamakan kedudukan menerusi percubaan terus Baddrol Bakhtiar namun sepakannya tinggi melewati palang pasukan pelawat pada minit ke-20.
Tamat masa rehat, pemain gantian Sabah FC, Hanafie Tokyo yang dimasukkan menggantikan Dominic Tan turut berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-60 namun percubaannya tersasar ke tepi gawang Selangor FC.
Bermain dalam cuaca hujan, tuan rumah terus mengatur serangan menerusi percubaan Stuart Wilkin pada minit ke-65 namun sepakannya lemah tersasar ke tepi gawang Selangor FC.
Serangan berterusan pasukan pelawat ke gawang Sabah FC berjaya membuahkan hasil apabila berjaya menambah gol kedua hasil jaringan Herlison Caion pada minit ke-80 yang berdepan satu lawan satu dengan Damien Lim menjadikan Selangor FC mendahului 0-2.
Sementara itu, Kim Swee dalam sidang media selepas perlawanan itu mengakui kecewa dengan keputusan yang diperolehi seterusnya terkeluar dari saingan Piala FA.
“Sudah tentu ini adalah keputusan agak mengecewakan dan kita terkeluar dari saingan Piala FA.
“Apabila Dominic (Tan) terpaksa dikeluarkan oleh kerana masalah kecederaan, disitu beberapa corak permainan berubah namun bila Hanafie (Tokyo) dimasukkan, permainan agak baik.
“Tetapi secara keseluruhan kita tidak berjaya memanfaatkan peluang-peluang yang kita cipta dan ini memberikan kelebihan kepada pasulan Selangor,” katanya.