HomeEkonomiIndustri Sarang Burung Walet Penyumbang Besar Ekonomi Negara

Industri Sarang Burung Walet Penyumbang Besar Ekonomi Negara

Read Time:2 Minute, 25 Second

KUALA LUMPUR :  Kerajaan sentiasa menggalakkan pengeksportan produk-produk sarang burung walet ke luar negara bagi meningkatkan nilai eksport produk dan daya saing industri ini secara keseluruhannya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, jumlah eksport adalah sebanyak 5,654 tan metrik bernilai RM1.154 bilion direkodkan pada 2019.

“Ia dilihat sebagai antara industri berasaskan ternakan yang menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara. Manakala, pada tahun 2020, jumlah eksport adalah sebanyak 3,640 tan metrik bernilai RM 1.385 billion.

“Sehingga April 2021, eksport telah mencecah sebanyak 962 tan metrik dengan nilai RM714 juta menunjukkan eksport komoditi ini kekal kukuh terutamanya di kala negara masih mengharungi penularan pandemik COVID-19,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas meninjau operasi di loji pemprosesan sarang burung walet PT Swift Marketing Sdn Bhd bagi memastikan operasi loji-loji ini yang terlibat dalam pasaran eksport tidak terganggu dan berterusan sepanjang masa.

Ronald berkata, kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sebelum ini berjaya mewujudkan satu Program Sistem Pendaftaran Premis Walet yang dikenali sebagai METS (Malaysia EBN Traceability System) bagi mengukuhkan sistem daya jejak bagi mencapai piawaian global serta menjadi salah satu syarat dalam pengeksportan sarang burung walet Malaysia ke negara China.

Katanya, DVS mengambil pelbagai langkah untuk terus meningkatkan pengeluaran Edible Bird Nest (EBN) melibatkan aktiviti dalam semua rantaian nilai dalam industri EBN iaitu pengeluaran sarang burung walet, pengumpulan, pemprosesan dan pemasaran.

“Ini termasuk mengalakkan pendaftaran premis walet dengan DVS bagi tujuan pemantauan. Secara keseluruhannya, sebanyak 12,954 premis walet telah didaftarkan oleh DVS di seluruh negara setakat ini.

“DVS sentiasa memantau industri ini bagi mengelakkan penyalahgunaan sumber produk tiruan dan mengamalkan urus tadbir industri yang diiktiraf oleh negara pengimport. Dalam hal ini, DVS sentiasa bekerjasama dengan pemain industri dengan pihak berkuasa dalam dan luar negara bagi memastikan industri ini beroperasi mengikut peraturan yang ditetapkan,”katanya.

Katanya, ia adalah penting supaya syarikat/loji pemprosesan dalam negara memenuhi spesifikasi, syarat dan piawaian yang telah ditetapkan oleh negara pengimport dan seterusnya layak membuat permohonan bagi tujuan pengeksportan.

“DVS juga telah mengambil inisiatif mengadakan kursus-kursus yang berkaitan dengan Good Manufacturing Practice (GMP) untuk dihadiri oleh pihak pemprosesan sarang burung walet supaya loji pemprosesan menepati kehendak kualiti terutamanya pengauditan oleh pihak Kerajaan Negara China yang mana pengimpot utama sarang burung wallet,”katanya.

Dalam pada itu, sektor pertanian, penternakan, perikanan serta industri makanan akan terus dibenarkan beroperasi selaras dengan SOP MKN dalam Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.

Katanya, pihaknya akan memastikan operasi sektor ini tanpa sebarang gangguan bagi menjamin kelangsungan rantaian ekonomi serta pengusaha yang terlibat.

“Sehingga 23 Jun lalu, kementerian melalui Jabatan dan Agensi dibawahnya telah mengeluarkan sebanyak 105,869 surat kebenaran keterlibatan dalam sektor pertanian tidak formal (informal) termasuk aktiviti rantaian pembekalan dan pemasaran berkaitan keperluan makanan.,”katanya.

Hadir sama pada lawatan kerja ini, Timbalan I MAFI Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Pengarah DVS Datuk Dr. Norlizan Mohd Noor.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular