HomeIsu tempatanPenyelidik UMS Bangunkan Modul STEM Bantu PdPR Murid Prasekolah

Penyelidik UMS Bangunkan Modul STEM Bantu PdPR Murid Prasekolah

Read Time:2 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) membangunkan modul bagi membantu memudahkan para guru dan ibu bapa menghadapi cabaran mendidik murid prasekolah sepanjang tempoh Pengajaran dan Pendidikan di Rumah (PdPR).

Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak FPP UMS, Dr Connie Cassy Ompok berkata, modul yang berasaskan konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) itu terinspirasi daripada geran penyelidikan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Menerusi geran ini, sekumpulan penyelidik UMS telah membangunkan Modul STEM Makanan dan Minuman yang mengangkat dapur memasak sebagai makmal maya.

“Dengan menukar dapur menjadi makmal maya, ibu bapa dapat menjana bahan pembelajaran yang mudah didapati di rumah mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Modul tersebut dibangunkan oleh kumpulan penyelidik yang terdiri daripada beliau sendiri, Dr. Nur Suhaidah Sukor, Dr. Musirim Mosin, dan Masalinah Jamri.

Menurut Connie, pada awalnya ia dibangunkan dengan berkonsepkan “bahan kitar semula” sebelum diubah selepas sekolah ditutup akibat pandemik Covid-19.

“Dalam fasa pembangunan modul, timbul persoalan tentang bagaimanakah cara terbaik dalam memperkenalkan STEM kepada murid prasekolah, yang pada dasarnya berada dalam fasa perkembangan awal kanak-kanak dan secara naluri amat menyukai aktiviti bermain sambil belajar.

“Bagi menjawab persoalan tersebut, dapur memasak sebagai makmal maya dilihat bertepatan untuk meneroka pelbagai jenis topik STEM yang digariskan dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK, 2017).

“Proses menyiapkan makanan adalah bahagian penting dalam kehidupan harian, yang bermaksud bahawa pembelajaran boleh berlaku dalam konteks semula jadi dan lebih bermakna kerana pada masa yang sama aktiviti pendidikan ini dapat menghasilkan makanan yang lazat,” jelasnya.

Ujar Connie, pada ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, maka pergerakan ibu bapa juga telah dihadkan, dan kesempatan ini dapat digunakan sepenuhnya oleh mereka untuk mencari bahan yang diperlukan bagi tujuan pembelajaran anak-anak.

“Dalam aktiviti Kereta Api saya misalnya, murid didedahkan dengan kemahiran manipulatif, iaitu kaedah menggunakan peralatan secara selamat dan betul dalam membina struktur asas kereta api daripada sayur-sayuran.

“Aktiviti ini juga memperkenalkan anak-anak tentang warna, serta menentukan nama buah dan sayur-sayuran. Aktiviti ini memenuhi standard pembelajaran tunjang Awal Sains, iaitu membanding beza dari segi saiz (besar-kecil, panjang-pendek) dan menggunakan elemen deria hidu dan rasa (masin, manis, masam, dan pahit).

“Modul ini juga memperkenalkan konsep awal Matematik, iaitu kemahiran mengukur unit bukan piawai bagi isipadu cecair,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Connie memaklumkan beliau melalui FPP bersama Nur Suhaidah turut membangunkan sebuah lagi modul untuk murid prasekolah yang dinamakan “Designing Mind, Construction of 3D Model of UMS Clock Tower for Preschoolers” dengan kerjasama penyelidik Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS, Prof. Madya Dr. Abdullah Bade.

“Inovasi ini memperkenalkan asas geometri, Polygonal Modeling dan Constructive Solid Geometry.

“Melalui aktiviti ini, murid dapat memanipulasikan bentuk geometri secara memusing kanan-kiri dan atas-bawah serta menterbalikkan objek secara maya.

“Selain itu, murid didedahkan dengan animasi tiga dimensi 3D, iaitu aplikasi virtual camera dan pencahayaan bagi menghasilkan photorealistic model dalam dunia maya,” katanya.

Kedua-dua modul tersebut turut berjaya mengharumkan nama UMS apabila dinobatkan sebagai penerima pingat perak dalam Malaysia Technology Expo (MTE) 2021, sebuah pameran antarabangsa mengenai inovasi dan teknologi yang berlangsung secara maya pada 14-18 June 2021.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

28 Hafiz, Hafizah sertai kategori hafazan pada MTHQNS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya