HomeSukanThe Rhinos jangka kekal barisan pemain, enggan pandang rendah kemampuan MUFC

The Rhinos jangka kekal barisan pemain, enggan pandang rendah kemampuan MUFC

Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC enggan memandang rendah terhadap kemampuan Melaka United FC (MUFC) pada saingan Liga Super musim ini selepas pasukan itu menunjukkan prestasi yang cukup baik sejak kebelakangan ini.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, MUFC juga kini dilihat turut mempamerkan corak permainan yang berbeza selain mempunyai pemain import berkualiti.

“Melaka United jika dilihat kebelakangan ini telah menunjukkan prestasi yang cukup baik bukan sahaja daripada segi keputusan tetapi corak permainan yang berbeza.

“Kita tahu barisan pemain mereka terutamanya para pemain import merupakan pemain-pemain yang cukup berkualiti.

“Seperti saya katakan daripada awal musim semua perlawanan amat penting bagi kita dan tiada beza pun apabila kita bermain dengan pasukan MUFC ini di mana kita perlu berada dalam tahap yang terbaik untuk memastikan kita tidak kehilangan mata,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sabah FC akan bertemu MUFC pada saingan Liga Super 2022 di Stadium Likas malam esok.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata, Sabah FC dijangka akan mengekalkan barisan pemain yang diturunkan pada perlawanan menentang Petaling Jaya (PJ) City FC Selasa lalu.

Katanya, semua pemain yang diturunkan pada perlawanan menentang PJ City FC telah menunjukkan prestasi yang cukup baik terutama daripada segi persembahan pada separuh masa kedua.

“Semua mereka telah mengikut arahan dan paling positif adalah mereka menunjukkan semangat juang yang cukup tinggi walaupun ketinggalan pada separuh masa pertama, mereka bangkit dengan bermain lebih baik dan mendapatkan dua gol untuk memastikan kita pulang dengan tiga mata,” katanya.

Beliau percaya barisan pemain yang diturunkan mampu mengalas tugas dengan sebaiknya bagi mengganti beberapa pemain yang mengalami kecederaan.

“Pemain-pemain seperti Jackson (De Sauza); Park (Taesu); Dominic (Tan) termasuk Rizal Ghazali masih lagi mengalami kecederaan manakala Baddrol Baktiar masih belum pulih daripada kesihatan.

“Ini pasti akan memberi sedikit kelonggaran di beberapa bahagian namun pemain yang diturunkan ketika menentang PJ City membuktikan mereka mampu dan saya percaya mereka mampu menggalas tugas jika mereka diberikan kepercayaan lagi,” katanya.

RELATED ARTICLES
SukanUtama

Ram Singh dilantik sebagai Presiden Persatuan Memanah Negeri Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular