HomeUtamaTerkejut namun berbaloi dengan cabaran yang ditempuhi - Nur Errmalyssa

Terkejut namun berbaloi dengan cabaran yang ditempuhi – Nur Errmalyssa

Read Time:1 Minute, 42 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

BEAUFORT : “Terkejut dan tidak mampu berkata-kata,” itu yang diluahkan Nur Errmalyssa Erryannie Esa,20, selepas berjaya dinobatkan sebagai pelajar pertama terbaik peringkat Kebangsaan bagi keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 yang diumumkan semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Klias itu berkata, beliau tidak menyangka meraih keputusan cemerlang STPM dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 membabitkan mata pelajaran Pengajian Am: Bahasa Melayu; Sejarah; Geografi dan Seni Visual.

Anak bongsu dari tujuh beradik itu mengakui berdepan cabaran sepanjang dua tahun pengajian apabila terpaksa mengikut pembelajaran secara atas talian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020 yang lalu.

“Saya dan rakan-rakan sebelum ini sudah lebih awal mengetahui keputusan PNGK 4.0 namun secara rasmi hanya dilaksanakan semalam di sekolah.  Alhamdulillah saya rasa bersyukur dan usaha sepanjang PKP yang lalu berbaloi dan dapat mengembirakan kedua ibu bapa saya.

“Bagaimanapun, saya akui terkejut dan tidak mampu berkata-kata apabila dimaklumkan pihak sekolah yang mana saya menjadi pelajar pertama terbaik peringkat kebangsaan. 

“Mulanya saya hanya menyasarkan untuk memecahkan rekod sekolah atau daerah dan tidak sampai kepada Kebangsaan,” katanya kepada Sabah Media di sini hari ini.

Nur Errmalyssa berkata, beliau juga sentiasa memotivasikan diri sepanjang pengajian meskipun menghadapi tekanan ekoran PKP dan pembelajaran secara atas talian.

“Memang ada tekanan sebenarnya tetapi saya lebih banyak memotivasikan diri untuk mencapat sasaran yang telah ditetapkan,  itu adalah lebih penting.

“Meskipun tidak bersemuka dengan cikgu ketika PKP, ia bukan halangan bagi saya untuk bertanyakan mereka sekiranya tidak memahami sesuatu perkara, membuat latih tubi dan menonton video pengajaran dari YouTube,” katanya.

Sementara itu, Nur Errmalyssa berkata, beliau turut bercadang untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi iaitu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“UPSI adalah menjadi pilihan saya untuk meneruskan pengajian.  Ketika ini saya masih menunggu tawaran dalam bidang pendidikan dimana pilihan pertama adalah Pendidikan Khas dan pilihan kedua adalah Geografi,” katanya.

Semalam, Nur Errmalyssa diumumkan sebagai antara 10 calon terbaik STPM 2021 dengan memperoleh PGNK 4.0 gred 5A seterusnya yang pertama terbaik peringkat Kebangsaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular