HomeUtamaBina Arca Merdeka dari pasir beri kepuasan kepada 'Mr Sandman'

Bina Arca Merdeka dari pasir beri kepuasan kepada ‘Mr Sandman’

Read Time:2 Minute, 34 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

KOTA KINABALU : “Semua ini adalah percuma dan memberi kepuasan untuk diri saya selain menyumbang kepada pengunjung untuk sama-sama menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-65 tahun ini,” kata Benjamin David,62.

Pesara Kerajaan Negeri yang lebih dikenali sebagai ‘Mr Sandman’ itu mula membina Arca Merdeka yang diperbuat dari pasir sejak dua minggu lalu sementara menunggu cucunya pulang dari sekolah berhampiran dengan Taman Pantai Tanjung Aru di sini.

Benjamin David

Katanya, dia hanya menggunakan sebatang sudu selain beberapa peralatan lain untuk digunakan membuat ukiran arca yang berkonsepkan tema Hari Kebangsaan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

Arca Merdeka itu memaparkan Bunga Raya dan Gunung Kinabalu selain gabungan kaum Melayu, Cina, India, Kadazan serta dua orang kanak-kanak yang sentiasa teguh bersama ibu bapa mereka.

Arca Merdeka yang berkonsepkan Keluarga Malaysia Teguh Bersama

“Saya mula membuat arca pasir ni sejak bulan Mac lalu dimana pada ketika itu saya bermula dengan membuat penyu, ikan duyung, ikan besar, kucing dengan tulang ikan selain beberapa arca lain.

“Ini adalah yang terbaharu sempena Bulan Kebangsaan yang saya usahakan secara ikhlas, sumbangan untuk para pengunjung yang datang ke Tanjung Aru seterusnya bergambar dengan replika arca ini.

“Saya juga terharu apabila ada rakan-rakan Facebook menyatakan anak mereka turut menyanyikan lagu merdeka apabila datang ke sini.  Ini juga dapat memupuk semangat perpaduan antara masyarakat, bukan sahaja kepada dewasa tetapi juga kepada kanak-kanak dibawah usia tiga tahun,” katanya kepada Sabah Media di sini hari ini.

Benjamin mengakui berdepan cabaran apabila hujan ataupun cuaca kering akan menyebabkan struktur arca berkenaan akan rosak mahupun roboh selain gangguan dari pihak tidak bertanggungjawab yang merosakkan ukiran yang dihasilkan.

Katanya, arca berkenaan hanya dibuat selama dua hingga tiga jam setiap Isnin hingga Jumaat dan akan diperbaiki setiap hari dengan membawa peralatan sendiri dari rumah termasuk air.

Tambahnya, jarak rumah yang jauh di Kinarut juga menjadi antara faktor kepada beliau mengisi masa terluang bersama isteri untuk membina arca.

“Jarak rumah kami yang jauh di Kinarut juga menjadi antara faktor untuk saya mengambil masa membina arca ini manakala isteri saya pula mengait membuat korset seperti Bendera Sabah dan Jalur Gemilang,” katanya.

“Membina arca ini adalah satu terapi minda. Ia memerlukan kesabaran.  Justeru saya berharap agar pengunjung yang hadir ke sini janganlah dirosakkan replika ini kerana ada lagi ramai pengunjung mahu datang bergambar,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mendapat sokongan dan dorongan dari pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“DBKK tidak halangan untuk saya menggunakan kawasan ini malah mereka memberi dokongan dan kebenaran untuk saya gunakan kawasan ini.  Mereka juga turut menyumbang memberi bendera Sabah dan Jalur Gemilang,” katanya.

Sementara itu, cucunya Venessa Getrude Johnny Matim mengakui turut berbangga dengan ukiran yang dihasilkan oleh datuknya dalam menyemarakkan lagi Bulan Kemerdekaan.

Venessa Getrude Johnny Matim

“Saya tidak menganggap ini sebagai sia-sia sebab percuma, tapi beliau telah berjaya mencipta sesuatu yang boleh dibanggakan kepada semua sebab membuat arca bukan sesuatu yang mudah.

“Jika tiada halangan, saya ingin berkolaborasi bersama beliau untuk membina arca pasir sempena Hari Malaysia nanti,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup barang kawalan berjaya digagalkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular