HomeIsu tempatanTarik lebih ramai pelancong asing ke Sabah tahun depan

Tarik lebih ramai pelancong asing ke Sabah tahun depan

Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan digesa untuk mencari langkah perlu bagi menarik lebih ramai pelancong luar khususnya dari luar negara masuk ke negeri ini pada tahun hadapan.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Pantai Barat Sabah Azami Bongsu berkata, industri pelancongan di negeri kini dilihat mula berkembang maju selepas negara memasuki fasa endemik pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, kehadiran pengunjung domestik dilihat lebih tinggi berkunjung ke Sabah berbanding luar negara.

“Alhamdulillah, industri pelancongan sudah mula berkembang dengan maju dengan kehadiran pelancong dalam negeri dan luar negara.  Bagaimanapun bagi pelancong luar negara kita melihat jumlah itu masih kurang.

“Justeru, kami berharap agar pihak Kerajaan dapat mengambil langkah perlu termasuk mengadakan kunjungan ke negara-negara berkenaan bagi membincangkan hubungan dua hala dari segi pelancongan termasuk membuka pintu-pintu negara dengan lebih luas agar kehadiran pelancong ke Sabah akan lebih ramai lagi,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Pantai Barat Sabah Azami Bongsu

Azami berkata, menerusi langkah itu juga diharap industri pelancongan negeri Sabah akan terus rancak selain dapat membantu meningkatkan sumber ekonomi pengusaha industri pelancongan khususnya di luar bandar.

Katanya, negara-negara luar juga perlu mempertimbangkan kebenaran untuk penduduk mereka keluar dengan beberapa syarat yang ditetapkan.

“Bila kita lihat kadar pelancong luar negara mungkin ada belum berapa ramai lagi bukan dari halangan pintu masuk kita tapi kekangan daripada negara mereka sendiri yang masih mengamalkan sistem pelancongan terkawal yang membolehkan pelancong keluar .

“Mungkin ada beberapa negara masih membuat kawalan yang mesti melalui prosedur standard operasi (SOP) yang ketat,” katanya.

Sementara itu, Azami turut berharap agar Kerajaan dapat mempertimbangkan geran-geran tahunan untuk disalurkan kepada para persatuan-persatuan berdaftar bagi membantu serta menjalankan aktiviti berkaitan pelancongan.

“Sudah pasti kami berharap agar bantuan termasuk geran tahunan dapat dipertingkatkan menerusi pembentangan bajet Kerajaan Persekutuan dan Negeri pada masa akan datang.

“Ini juga akan dapat membantu pengusaha pelancongan, persatuan berkaitan untuk memulihkan kemudahan pelancongan yang sedia ada selepas kurangnya pengunjung pada pandemik COVID-19 yang lalu,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

58 beg darah berjaya dikutip, bantu pesakit memerlukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular