Seorang lelaki bukan saja gagal memecah masuk sebuah rumah di Taman Khidmat, di sini, semalam, malah terpaksa menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung rumah selepas dikejar anjing peliharaan pemilik rumah terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia 38 tahun terbabit kemudian ditahan polis selepas kehadirannya disedari pemilik rumah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan awal mendapati suspek cuba memecah masuk rumah berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, suspek dikejar oleh dua anjing peliharaan pemilik rumah itu sehingga menyebabkan dia sukar melarikan diri dan terpaksa memanjat bumbung rumah sebelum ‘diselamatkan’ dan ditangkap polis.
“Kehadiran suspek disedari penghuni rumah berusia 65 tahun yang terus menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.
“Sepasukan polis terus bergegas ke tempat kejadian sebelum berjaya menahan suspek dan membawanya ke Balai Polis Luyang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Habibi berkata, ketika ditahan, suspek turut didapati memegang sebatang besi telimbu.
Katanya, hasil ujian air kencing terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis syabu.
“Semakan turut mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau di IPD Kota Belud, mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan,” katanya.