HomeUtamaKerajaan Sabah bertekad hebatkan momentum pembangunan

Kerajaan Sabah bertekad hebatkan momentum pembangunan

Read Time:2 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri terus bertekad untuk memperhebatkan lagi momentum pembangunan Sabah di samping menambah baik kualiti hidup rakyat melalui pelbagai program dan inisiatif.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, masih banyak yang perlu dilakukan namun sebagai pemimpin dan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan, agenda membela nasib rakyat dengan memacu pembangunan di seluruh negeri akan terus diperhebatkan, meliputi pelbagai sektor pembangunan.

“Dalam konteks ini, kerajaan akan terus memperkasa pembangunan infrastruktur dan utiliti luar bandar serta jaringan Komunikasi, meningkatkan kualiti pendidikan, kesihatan dan modal insan, menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik dan mengurangkan kemiskinan.

“Selain itu, menambah peluang pekerjaan, mempertingkatkan tahap keselamatan dan yang lebih penting, membangunkan semula ekonomi negeri yang ternyata mengalami kelembapan dan terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Menjunjung Kasih pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat negeri Sabah bagi tahun 2022 sempena Hari Jadi Rasmi Ke-69 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, di sini hari ini.

Hajiji berkata, Sabah juga telah membelanjakan lebih RM2.39 bilion untuk projek pembangunan sehingga 4 September tahun ini, di bawah Rolling Plan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Katanya, ini menunjukkan prestasi sebanyak 45.67 peratus daripada lebih RM5.23 bilion yang diperuntukkan di bawah pelan itu untuk 1,118 projek pembangunan yang diluluskan di Sabah.

Tambahnya lagi, agenda pembangunan negeri khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kini berada di landasan yang betul dan mula menampakkan hasil positif.

“Kejayaan turut dicapai dalam sektor lain seperti sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan termasuk pembangunan modal insan untuk memastikan anak-anak Sabah tidak tercicir atau ketinggalan dalam bidang pekerjaan.

“Saya percaya rakyat bijak untuk menilai fakta pencapaian kita khususnya ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19. Sesungguhnya kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab bukan saja memikirkan dan merancang malah yang lebih penting adalah melaksanakan banyak agenda pembangunan untuk membantu rakyat,” katanya.

Sempena majlis itu, Hajiji yang mewakili seluruh rakyat Sabah turut mengucapkan Selamat Hari Jadi Ke-69 kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Katanya, Tuan Yang Terutama Tun ibarat payung perpaduan yang memayungi seluruh rakyat di Sabah tanpa mengira agama, bangsa, dan kaum.

“Saya dan seluruh rakyat Sabah amat bertuah dapat bernaung di bawah pimpinan Tuan Yang Terutama Tun yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat.

“Kestabilan dan keharmonian yang telah dikecapi sehingga ke hari ini akan terus disemai dan dipertahankan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat tahun ini.

“Saya berharap agar pengurniaan ini, akan dapat menyemarakkan lagi semangat dan iltizam semua penerima anugerah untuk terus menabur bakti dan memperkukuhkan usaha untuk sama-sama memajukan Negeri Sabah yang tercinta agar terus maju, makmur, aman dan sejahtera,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni.

RELATED ARTICLES
Utama

Mencipta Masa Depan Gemilang untuk Semua Dalam Belanjawan 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular