14 guru KV Keningau terima Anugerah Dikaulah Bintang di Putrajaya

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 19 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KENINGAU: Seramai 14 orang guru dari Kolej Vokasional (KV) Keningau telah terpilih sebagai penerima Anugerah Dikaulah Bintang yang telah julung-julung kalinya diadakan oleh Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Dewan Damar Sari, Presint 1, Putrajaya pada Jumaat lalu. (30 Sept)

Guru-guru tersebut terdiri dari tenaga pengajar yang mengajar dalam subjek akademik dan vokasional.

Pengiktirafan itu dibuat berdasarkan kejayaan dan sumbangan guru-guru Kolej Vokasional serta Sekolah Menengah Teknik dalam bidang inovasi sejak tahun 2020.

Rombongan guru itu diketuai oleh pengarah kolej KV Keningau iaitu Johari @ Jaibet Sabin bersama 13 orang guru yang turut menerima anugerah tersebut iaitu Nurazilah Othman, Alvinah Tony Entai, Akmal Rosimun, Larry James, Haini Kotin, Amirullah Abdul Karim, Marklin Muilin, Saleha Suhaidin, PJ Ape Angat, Ahmad Azharulzaman Ibrahim, Roseanne Nelson, Khalifa Affnan dan Sirhajwan Idek.

Menurut Johari, dari tahun 2020 sehingga September 2022, pelbagai anugerah inovasi dan kajian telah dirangkul oleh golongan pendidik kolej terbabit di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuklah Cambridge Dedicated Teacher Award, Simon Greenall Award, Goabroad Innovation Award, YSEALI Seed for the Future, geran projek SEAMEO dan APCEIU serta anugerah emas dan berlian di beberapa pertandingan inovasi.

Dalam pada itu, Johari meluahkan rasa bangga dan gembira dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia kepada guru-guru di kolej itu.

“Anugerah sedemikian akan membakar semangat dan menjadi motivasi kepada lebih ramai pendidik untuk terus menceburi bidang inovasi agar dapat meningkatkan kualiti pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut berharap agar KV Keningau terus menjadi pusat kecemerlangan bukan sahaja di peringkat tempatan malah di tahap global.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *