KOTA KINABALU : Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus memberi sokongan kukuh kepada gabungan itu dan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun kepada Sabah Media menerusi WhatsApp di sini malam ini.
Ia termasuklah ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Semua ADUN GRS dan BERSATU menyokong GRS dan Ketua Menteri termasuk Datuk Rubin yang tidak dapat hadir perjumpaan pada malam ini,” katanya.
Difahamkan, wakil-wakil rakyat GRS dan BERSATU telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor malam ini.
Sebelum ini, empat ADUN GRS dilaporkan beralih angin untuk menyokong Parti Warisan (WARISAN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Antaranya ialah ADUN Pitas Datuk Ruddy Awah: Datuk Masiung Banah (Tongod); Datuk Rubin Balang (Kemabong) dan Datuk Ghani Mohamed Yassin (Nabawan).