HomeUtamaQari Bahrain, qariah Malaysia, juara tilawah al-Quran antarabangsa

Qari Bahrain, qariah Malaysia, juara tilawah al-Quran antarabangsa

Read Time:1 Minute, 9 Second

KUALA LUMPUR: Sofizah Mousin, Qariah Malaysia yang berasal dari Kota Kinabalu Sabah, dan Qari Bahrain, Mohamed Sameer Mohamed Magahed masing-masing diumum johan tilawah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-62, malam tadi.

Pada majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, Mohamed Sameer memperoleh markah 93.33 peratus, manakala Sofizah meraih 89.66 peratus, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai dan piala.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan hadiah kategori qari, manakala hadiah kategori qariah dikurniakan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sementara itu, wakil Malaysia, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, muncul naib johan qari dengan markah 88.83 peratus, manakala tempat ketiga dimenangi qari Indonesia, Muhammad Rizqon (88.34 peratus).

Widadul Wahidah Mahamod dari Singapura pula muncul naib johan qariah, dengan markah 87.50 peratus dan tempat ketiga qariah Indonesia, Yuni Wulandari Hasim (87.49 peratus).

Turut hadir pada majlis penutup MTHQA62, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Bertemakan “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran,” majlis itu berlangsung selama enam hari bermula Rabu lalu, membabitkan 36 peserta dari 28 negara.

MTHQA62 adalah yang pertama kali diadakan selepas dua tahun ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, hanya kategori tilawah yang dipertandingkan kali ini, manakala kategori hafazan akan kembali pada tahun hadapan.

RELATED ARTICLES
Utama

Isu Pelantikan TYT Sabah: KEADILAN Sabah seru hormati perlembagaan, henti sebar...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular