KOTA KINABALU : Akademi Tunas Bola Sepak Perempuan bagi kanak-kanak berusia 10, 11 dan 12 tahun akan diwujudkan dalam tempoh terdekat untuk mencari lebih ramai pemain berbakat di peringkat akar umbi.
Pusat latihan yang bakal dibuka di daerah Kota Kinabalu dan Keningau itu akan dikendalikan jurulatih berpengalaman dan dikawalselia beberapa badan termasuk Majlis Sukan Negara dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Ketua Jurulatih Remaja Negeri, Omar Maya Amat berkata, Akademi Tunas ini adalah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) bagi melahirkan bakat pemain bola sepak wanita dari peringkat awal.
Katanya, ia bagi mencungkil bakat baharu dalam kalangan anak muda sebelum diserapkan ke peringkat lebih tinggi termasuk Pusat Latihan Daerah (PLD) dan Sekolah Sukan Negeri (SSN) serta Akademi Bola Sepak Negara Mokthar Dahari (AMD).
“Matlamat utama pewujudan akademi ini adalah mencungkil bakat, memberi pendedahan awal dan kemahiran bola sepak dalam kalangan pemain pasukan wanita.
“Kita berharap, program ini mampu melahirkan pemain berkualiti dan seterusnya meningkatkan potensi setiap pemain bermula seawal peringkat bangku sekolah rendah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Omar berkata, program ini akan menjadi landasan terbaik dalam pembentukan pasukan bola sepak wanita yang mampu berdaya saing bukan saja di peringkat kebangsaan tetapi juga di arena antarabangsa.
Katanya, Akademi Tunas sudah lama diadakan sejak tahun 2014 namun ia hanya membabitkan pemain bola sepak remaja lelaki.
“Sehubungan itu, kita berharap para ibu bapa dapat menyokong usaha ini dengan menghantar anak masing-masing untuk melalui proses pemilihan yang diadakan.
“Mereka yang berminat boleh menghubungi Penolong Ketua Jurulatih Remaja Negeri, Roney Asmadul Bakar di talian 010-5831044 untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut,” katanya.
Omar berkata, pihaknya percaya usaha ini akan mampu meningkatkan kegemilangan sukan bola sepak bukan saja untuk negeri Sabah tetapi juga pasukan kebangsaan.