KOTA KINABALU : Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah akan memberi fokus kepada program-program yang sesuai bagi membolehkan para belia yang tidak mempunyai pekerjaan menceburi bidang keusahawanan dan kemahiran.
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, pihak kementerian juga bercadang untuk mewujudkan konsortium belia yang bertujuan membantu golongan itu sama ada dari segi bantuan geran atau khidmat nasihat kepada belia yang baharu menceburi bidang perniagaan selepas menjalani latihan kemahiran anjuran kementerian atau dari mana-mana penyedia latihan.
Katanya, melalui konsortium itu nanti, kementerian akan menjadi pemudahcara untuk menyalurkan bantuan-bantuan atau geran-geran yang disediakan oleh pihak kerajaan ataupun oleh badan-badan bukan kerajaan.
“Kementerian saya akan mempertingkatkan jaringan kerjasama dengan kementerian, jabatan, agensi dan pihak swasta yang menyediakan peluang-peluang latihan yang boleh meningkatkan ekonomi belia.
“Antara jaringan kerjasama yang akan diadakan adalah dalam bidang industri, pertanian dan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ellron berkata, Kerajaan turut memberi insentif kepada atlet yang mengharumkan nama negeri dan negara.
Katanya, ianya adalah untuk menyuntik semangat para atlet untuk berjaya memenangi sesuatu acara sukan adalah dengan menyediakan insentif kemenangan.
“Sebanyak RM 402,600 telah diberikan kepada atlet Sabah yang telah memenangi pingat di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 dan berjumlah RM 10,000 Insentif Kemenangan diberikan kepada atlet yang memenangi pingat di Sukan Komanwel
“Persatuan sukan juga berperanan untuk membantu meningkatkan pembangunan sukan di negeri ini. Sejumlah RM5 juta diperuntukkan kerajaan Negeri pada tahun 2022 untuk agihan kepada 58 persatuan sukan negeri melalui geran bantuan Persatuan Sukan Negeri di bawah selian Majlis Sukan Negeri Sabah,” katanya.
Katanya, Sukan Sabah (SAGA) merupakan program dwi-tahunan yang akan dilaksanakan pada tahunan 2023.
“Sebanyak 25 jenis sukan dijangka akan dipertandingkan. Melalui Sukan SAGA ini adalah diharapkan dapat mencungkil bakat-bakat baharu untuk mewakili negeri Sabah dalam kejohanan sukan peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa,” katanya. – SABAH MEDIA