Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU : Pusat Digital IoT Sandbox bakal menjadi platform untuk inovator dan para usahawan digital mencipta produk dan menguji kebolehlaksanaan teknologi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan berkata, program yang pertama di Borneo dan Kelapan di Malaysia ini akan menjadi tonggak utama untuk meningkatkan pengkomersilan produk inovatif tempatan dari Sabah dalam persekitaran sebenar yang selamat.
“Pusat yang terletak di Wisma Bandaraya ini akan dibahagikan kepada empat ruang utama iaitu Showcase Space, Maker Space, Thinking Space dan Pitch Space.
“Selain bertujuan menyelesaikan permasalahan di Sabah menggunakan teknologi, ia juga merupakan akses bagi mendapatkan bantuan dari segi guaman, kewangan, capaian pasaran dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Digital IoT Sandbox di sini, semalam.
Yakub berkata, beberapa entiti utama di Sabah seperti Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) dan Sabah Net juga akan berkolaborasi bersama rakan strategik bagi menggerakkan beberapa inisiatif untuk menggalakkan lebih banyak inovasi dibawa dan diuji di dalam sandbox ini.
Katanya, inisiatif ini juga turut mendapat perhatian pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan Pensyarah di University of Strathclyde, Glasgow, Scotland di mana mereka berpendapat bahawa ini adalah ‘inovasi terbuka’ yang patut dicontohi.
“Dalam hal ini, negara luar pun sudah mengagumi usaha kita, maka gunakanlah peluang ini untuk membuat sehabis baik.
“Diharap juga inisiatif ini dapat menjadikan Sabah sebuah negeri yang berteknologi tinggi dan seterusnya berupaya untuk mempromosikan budaya sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan masyarakatnya,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Teknologi), Kementerian Sains dan Teknologi, Datuk Dr Ts Mohd Nur Azman Hassan, Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Zainudin Aman dan Ketua Unit Kerjasama Strategik Kerajaan, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Andi Suswandi Shamsuddin.