HomeUtamaRM54.05 juta diperuntukkan untuk sekolah & perkembangan badan keagamaan bukan Islam tahun...

RM54.05 juta diperuntukkan untuk sekolah & perkembangan badan keagamaan bukan Islam tahun 2023

Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM54.05 juta dalam Belanjawan 2023 Sabah untuk bantuan dan pemberian kepada sekolah-sekolah dan perkembangan badan-badan keagamaan bukan Islam di Sabah tahun hadapan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, bantuan dan pemberian itu meningkat sebanyak RM7.05 juta berbanding tahun 2022.

“Sebagai kerajaan yang prihatin dan saksama, kita akan meneruskan bantuan dan peruntukan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam yang juga akan memberi manfaat kepada gereja-gereja di negeri ini”.

“Inilah tanda dan bukti bahawa Kerajaan Negeri serius dan ikhlas dalam membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama”, katanya pada Majlis Perasmian Sambutan KK Christmas 2022 di Padang Merdeka Kota Kinabalu, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri, Datuk Seri Dr. Jeffrey G.Kitingan.

Hajiji menyeru kepada seluruh rakyat untuk terus bersama-sama dengan kerajaan dalam memastikan kemakmuran sosial dapat terus dipelihara dan dipertingkatkan demi kesejahteraan dan manfaat bersama.

“Lupakanlah perkara berkaitan politik kerana sekarang adalah masa untuk kita bekerja demi rakyat dan negeri. Apa yang penting, kerjasama dan sokongan daripada rakyat akan menyumbang kejayaan kepada segala dasar dan program yang sedang kita laksanakan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” tegasnya.

Katanya, perpaduan rakyat, keharmonian kaum dan toleransi beragama yang kukuh di negeri ini hendaklah dikekalkan untuk kebaikan generasi sekarang dan akan datang.

Menurutnya, apa jua tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat dan kestabilan kerajaan, hendaklah dihindari agar agenda pembangunan yang telah dirancang untuk meningkatkan lagi ekonomi negeri ini dapat direalisasikan.

Hajiji berkata, semangat perpaduan, toleransi dan saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang bangsa, kaum dan agama sudah lama dipraktikkan rakyat negeri ini.

“Malah dalam setiap perayaan, kita meraikan tanpa mengira bangsa dan agama.

Justeru, saya mahu rakyat di negeri ini untuk bersama-sama mengenepikan perbezaan dan fokus kepada nilai yang menyatukan dan bukan memecah belahkan sesama rakyat”, tambahnya.

Katanya, Kerajaan Negeri menghargai dan menyambut baik komitmen dan usaha Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Gereja-Gereja Sabah, kerana berjaya menganjurkan sambutan KK Christmas kali ke-17 bersama rakyat di daerah Kota Kinabalu.

Beliau turut mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas dan Tahun Baharu 2023 kepada seluruh rakyat Negeri Sabah.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular