KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad menyampaikan sumbangan sebanyak RM5 juta untuk Tabung Bantuan Bencana Negara (TBBN) di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bantuan ini adalah sebahagian daripada CSR FGV Holdings Berhad khusus sebagai komitmen mereka kebertanggungjawaban bersama untuk membantu kerajaan bagi menangani permasalahan dan isu khususnya bencana banjir yang melanda di negara ini.
“Penubuhan TBBN yang diselaraskan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) adalah bertujuan untuk menggalakkan sumbangan pihak swasta, badan sukarela, pertubuhan dan orang perseorangan atas prinsip pengurusan bencana negara adalah tanggungjawab semua anggota masyarakat.
“Justeru, kami mengharapkan lebih banyak pihak yang tampil untuk menghulurkan bantuan dalam kita bersama-sama menangani permasalahan yang berlaku.
“Diperingkat induk, peringkat pusat sekiranya ada pihak yang ingin menyalurkan bantuan bolehlah berhubung dengan pihak NADMA melalui TBBN tersebut,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan oleh FGV Holdings Berhad kepada TBBN di sini hari ini.
Menurut Armizan, sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan terus ke lapangan, kita alu-alukan dan nasihat kita adalah untuk berbincang dan menyalurkan bantuan itu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah.
“Kita juga sedia maklum bahawa pengurusan bencana kita di negara ini melibatkan jawatankuasa tiga peringkat iaitu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
“Justeru, sekiranya ada pihak yang ingin menyalurkan bantuan terus ke lapangan iaitu di peringkat setempat, kita nasihatkan melakukan perbincangan dan menyalurkan bantuan tersebut kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, ini adalah kerana kita akan dapat memastikan kita menyampaikan bantuan untuk keperluan yang benar-benar diperlukan iaitu bantuan yang tepat dan memastikan ianya sampai kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Terdahulu, pada majlis itu, Armizan menerima replika cek berjumlah RM5 juta daripada Pengerusi FGV Holdings Berhad, Datuk Dzulkifli Abd Wahab, untuk Tabung Bantuan Bencana Negara, di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
Surat Ikatan Amanah KWABBN, membenarkan penerimaan sumbangan dana daripada orang ramai bagi tujuan pengurusan dan bantuan-bantuan bencana negara. TBBN di bawah KWABN dikendalikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri (NADMA, JPM). Sumbangan ke TBBN layak mendapat pelepasan cukai.
Nama Akaun : TABUNG BANTUAN BENCANA NEGARA
No. Akaun : BANK MUAMALAT 1601-0001138-71-4