HomeSukanPiala AFF: Antara aksi terbaik Harimau Malaya - Pan Gon

Piala AFF: Antara aksi terbaik Harimau Malaya – Pan Gon

Read Time:1 Minute, 40 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon, menyifatkan kemenangan 4-1 ke atas Singapura pada perlawanan terakhir Kumpulan B, Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022, malam tadi, sebagai antara persembahan terbaik anak buahnya.

Jurulatih dari Korea Selatan itu berkata beliau gembira melihat skuad kendaliannya berjaya menampilkan potensi mereka ketika membenam skuad Singa sekali gus mengesahkan slot separuh akhir kejohanan itu di hadapan 65,147 penyokong di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini.

“Kita boleh lihat semangat mereka (pemain Harimau Malaya). Mereka telah memberi kesungguhan di atas padang, menunjukkan semangat berpasukan yang hebat dan menyajikan perlawanan yang baik kepada peminat malam ini, itu adalah yang paling mengagumkan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini.

Katanya, kemenangan tersebut membuktikan bahawa semua kerja keras mereka sejak lima minggu lalu telah membuahkan hasil kerana mereka masih ‘hidup’ dalam kejohanan yang dipanggil ‘Piala Dunia ASEAN’ itu.

Bukan itu sahaja, Pan Gon berkata, beliau gembira melihat pemainnya dapat mengembalikan semula momentum selepas kekalahan kontroversi 0-3 menentang Vietnam, minggu lalu.

“Saya rasa pemain berada di bawah tekanan yang besar (sebelum perlawanan Singapura) kerana mereka perlu beraksi untuk meyakinkan diri mereka sendiri…Saya menggalakkan pemain untuk menikmati suasana perlawanan ini tetapi esok kita mula semula,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Singapura, Takayuki Nishigaya, mengakui beliau kecewa dengan keputusan itu selepas gagal membawa pasukan bimbingannya untuk mara ke separuh akhir.

“Ini satu keadaan yang sukar untuk bermain di sini tetapi terdapat banyak ruang untuk diperbaiki memandang terdapatnya potensi untuk meningkat lebih jauh. Bagaimanapun, tahniah Malaysia dan saya ucapkan selamat maju jaya pada peringkat seterusnya,” katanya.

Selaku naib juara Kumpulan B, Malaysia akan berdepan juara Kumpulan A, Thailand, pada peringkat separuh akhir secara timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Sabtu ini dan di Bangkok pada Selasa depan.

Dalam satu lagi saingan separuh akhir, Vietnam, yang menewaskan Myanmar 3-0 pada perlawanan terakhir kumpulan B di Hanoi, malam tadi, muncul juara kumpulan dan akan bertemu naib juara Kumpulan A, Indonesia, Jumaat ini dan Isnin depan.- BERNAMA

RELATED ARTICLES
SukanUtama

Nguyen Anh Minh & Sieun Lee dinobatkan juara Kejohanan Golf Amatur...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular